Gaji minima: Kenaikan tambahan amat penting perlu dipertimbangkan kerajaan, kata Pemuda AMANAH

Oleh MALAYSIADATELINE

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil  berkata, kenaikan tambahan gaji minima pada masa akan datang amat penting dan perlu diberi pertimbangan serta dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata keputusan kerajaan meningkatkan serta menyeragamkan gaji minima seluruh negara kepada RM1050 atau RM5.05 sen mulai 1 Januari 2019,adalah langkah yang baik.

“Disebalik kenaikan ini, kita juga perlu memahami kesukaran untuk meningkatkan kadar gaji minima secara mendadak ekoran situasi ekonomi domestik dan antarabangsa serta hutang kerajaan yang tinggi.

“Selain itu ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar yang lebih rendah pada tahun 2018 dan 2019 disebabkan oleh faktor ‘technical high base effect’ serta pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat.

“Perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China serta aliran keluar dana daripada pasaran baru muncul atau ’emerging market’ turut mempengaruhi situasi tersebut, ” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir ini, turut berkata, tindakan terburu-buru bagi meningkatkan gaji minima secara mendadak boleh merosotkan ekonomi yang mulai berkembang secara perlahan kini.

Maka itu katanya, ia akan menyebabkan peningkatan kos perniagaan yang boleh menjejaskan pertumbuhan tenaga kerja dalam negara ini.

“Buat pertama kalinya dalam sejarah pekerja-pekerja Sabah dan Sarawak akan menerima gaji minima yang sama dengan Semenanjung apabila menerima peningkatan sebanyak RM130.

“Ini juga selaras dengan hasrat Pakatan Harapan untuk menjaga kebajikan rakyat tanpa sebarang diskriminasi serta dapat mengurangkan jurang pendapatan antara Semenanjung dan Malaysia Timur.

“Secara tidak langsung menerusi kadar baru RM5.05 sejam, gaji minima di Sabah dan Sarawak akan meningkat secara signifikan melebihi 14% berbanding kadar RM4.42 sebelum ini, ” ujarnya lagi.

Malah kata Faiz peratusan peningkatan gaji minima ini sebenarnya adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan purata perbelanjaan bulanan isi rumah di Sabah dan Sarawak iaitu 4.9% antara 2014 dan 2016.

Sementara itu tegasnya, di Semenanjung gaji minima telah dinaikkan daripada RM4.81 sejam kepada RM5.05 sejam dan menyebabkan pertumbuhan sebanyak 5%.

“Negeri-negeri di Semenanjung turut menyaksikan pertumbuhan purata perbelanjaan penggunaan bulanan isi rumah antara 4.3% hingga 10.4% setiap tahun antara 2014 dan 2016.

“Usaha bagi meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah, tidak pula harus dihentikan setakat ini.

“Kerajaan disarankan supaya meneliti kembali dan meningkatkan lagi gaji minima sebanyak RM50 mulai Jun dan Ogos 2019, ” jelasnya.

Menurut Faiz lagi, tambahan RM50 tersebut harus ditanggung kerajaan selaras dengan tawaran Pakatan Harapan dalam manifestonya untuk menanggung 50% kenaikan gaji minima dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Katanya lagi, CIMB Research menganggarkan 25% daripada pekerja dalam negara ini menerima manfaat gaji minima.

“Berdasarkan anggaran ini, tambahan RM50 gaji minima daripada kerajaan, dijangka seramai lebih kurang 3.7 juta pekerja akan menerima tambahan sebanyak RM600 setahun setiap orang.

“Kerajaan juga dijangka menanggung kos melebihi RM2.2 bilion setahun bagi inisiatif ini.

“Rentetan itu, bagi mengurangkan beban kerajaan, dicadangkan agar kerajaan menyalurkan dana daripada penjimatan yang dicapai menerusi pengurangan Bantuan Sara Hidup Rakyat (BR1M) pada masa akan datang bagi menampung kos gaji minima tersebut,”tambahnya.

Tegasnya lagi, kenaikan gaji minima ini akan meningkatkan kemampuan berbelanja bagi rakyat serta meningkatkan perbelanjaan dan permintaan pengguna.

Seterusnya akan menjadi pemangkin bagi ekonomi tempatan yang telah terjejas sebelum ini.

“Berdasarkan data Pertubuhan Buruh Anatarabangsa, pertumbuhan produktiviti pekerja dalam negara ini adalah tidak memberangsangkan.

“Antara 2011 dan 2017, produktiviti buruh dalam negara ini hanya meningkat pada purata 1.7% setiap tahun, manakala purata pertumbuhan produktiviti buruh negara-negara berpendapatan sederhana tinggi adalah 3.8% setiap tahun.

“Oleh itu semua pihak khususnya pekerja perlu memandang serius perkara ini dan meningkatkan produktiviti pengeluaran, ” katanya.

Beliau juga berkata, sebarang kenaikan gaji tanpa pertumbuhan produktiviti yang sepadan akan meningkatkan kos perniagaan dan seterusnya menyumbang kearah inflasi yng lebih tinggi.