Gantung Biasiswa: JPA tidak terima arahan rasmi, dedah GPMS

Oleh MALAYSIADATELINE

Presiden GPMS Zambri Mohd IsaJabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak menerima sebarang arahan rasmi sama ada yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan mahu pun dari Jabatan Perdana Menteri kononnya kerajaan akan mengantung biasiswa JPA bagi peringkat Pra-Universiti berikutan ketidak tentuan ekonomi global masa ini, dakwa  Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Perkara ini didedahkan Presidennya Zambri Mohd Isa yang turut membidas kenyataan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong  hari ini, kononnya kerajaan Malaysia akan menggantung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi peringkat Pra-Universiti, berikutan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

“GPMS telah berhubung sendiri dengan pihak JPA hari ini dan mendapati bahawa tidak ada sebarang arahan dikeluarkan daripada pihak kepimpinan tertinggi kerajaan termasuk Perdana Menteri kepada JPA untuk menggantung mana-mana skim biasiswa di bawah jabatan itu.

“Kenyataan Wee Ka Siong adalah sama sekali bertentangan dengan arahan Perdana Menteri kepada Ketua Setiausaha Negara (KSU) dan Ketua Pengarah JPA iaitu agar JPA mengemukakan cadangan agar satu mekanisme baharu dapat diperkenalkan dalam pemberian biasiswa itu agar lebih efisyen dan optimum, berbanding kaedah sekarang,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

GPMS berpendapat bahawa kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dibuat oleh Menteri Kabinet kerana akan menimbulkan tanda tanya dan menjadi keresahan di kalangan para pelajar lepasan SPM serta ibu bapa tentang masa depan pendidikan mereka, apatah lagi dalam keadaan tekanan ekonomi rakyat akibat kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Tambah membimbangkan, majoriti penerima biasiswa JPA adalah dari golongan Bumiputera yang berpendapatan sederhana, dan sebarang penggantungan skim biasiswa JPA sudah pasti memberi kesan langsung kepada golongan tersebut,” ujarnya.

GPMS juga bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan JPA untuk memberikan cadangan dan usul berkenaan mekanisma yang boleh digunapakai oleh JPA dalam urusan pemberian biasiswa.

“Cadangan berkenaan adalah hasil dari dapatan yang diperoleh GPMS melalui pertemuan dengan pakar-pakar akademik termasuk mantan pengurusan tertinggi kerajaan yang berada dalam barisan Panel Pemikir GPMS.

“GPMS yakin, Perdana Menteri tidak akan sama sekali mengenepikan kepentingan soal pendidikan dalam sebarang keputusan berkaitan ekonomi negara terutama dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang akan dibentangkan hujung bulan ini.

“Justeru, GPMS berharap agar tidak ada sebarang kenyataan yang bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri dibuat oleh Wee Ka Siong atau mana-mana pemimpin di negara ini terutama dalam soal biasiswa JPA, apatah lagi perkara berkait rapat dengan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, untuk memastikan hak kaum Bumiputera termasuk dalam soal pendidikan, adalah terjamin.” je;asnya.

Putrajaya dilaporkan telah menggantung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kursus ijazah dan bursari Kementerian Pendidikan bagi program pra-universiti, di tengah-tengah kejatuhan pendapatan negara.

Menurut laporan Sin Chew Daily, ini telah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong  yang membangkitkan isu itu dalam mesyuarat kabinet semalam berikutan beberapa aduan daripada pelajar cemerlang.

Wee berkata beliau telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk memikirkannya semula dan menyediakan semula pemberian biasiswa itu.

Akhbar itu memetik Wee sebagai berkata perdana menteri memahami bahawa ekonomi tidak baik masa ini dan rakyat menghadapi beban berat, dan mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan JPA memikirkan penyelesaian baru.