Tempoh gantung selama tiga bulan ke atas aktiviti melombong bauksit di Kuantan seperti ditetapkan Kabinet dibimbangi tidak mencukupi untuk melakukan semakan dari segi peraturan dan penguatkuasaan undang-undang, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Menurut Pengerusi Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit itu, lebih banyak masa diperlukan bagi tujuan berkenaan memandangkan kemusnahan alam sekitar di daerah itu yang terlalu teruk akibat kelemahan kerajaan negeri daripada segi kawalan dan pemantauan.
“Gantung (operasi) itu bukan gantung begitu saja. Paling penting kenapa banyak sangat pelombong haram. Itu sebab kena tengok kenapa selama ini aspek penguatkuasaan gagal.
“Kalau gantung setakat nak bagi rakyat diam, tidak guna. Mesti segera disusuli dengan pemuliharaan alam sekitar. Akibat terlalu banyak tanah dikorek sampai jadi botak, tindakan memulihara satu hal paling kritikal mesti dilakukan sekarang,” katanya ketika dihubungiMalaysia Dateline.
Mengakui kesal dengan situasi luar kawalan di pihak Menteri Besar dalam menangani isu yang berlarutan sehingga sudah memakan korban pada 21 Disember lalu, beliau menyifatkan kerajaan negeri seolah-olah hilang upaya untuk melaksanakan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
“Bebas untuk semua dari A hingga Z, daripada melombong, mengorek, mengangkut sehinggalah mengurus ‘stockpile’ dan mengalih ke atas kapal untuk dieksport,” katanya mengakui perlombongan bauksit boleh dilaksanakan secara lestari jika aspek peraturan dan penguatkuasaan dipatuhi semua pihak.
Ditanya pihak yang terlibat dalam menangani pencemaran akibat aktiviti melombong mineral itu, beliau berkata, Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC) perlu turut bertanggungjawab kerana pengeksport menyewa untuk menggunakan kawasan sekitar pelabuhan itu.
Selain itu, ujarnya, antara pihak penguatkuasa terbabit ialah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Tergesa-gesa
Dalam hal berkaitan, Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Ibrahim Komoo dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, perlombongan bauksit di Kuantan mungkin dibangunkan secara tergesa-gesa selepas melihat peluang keemasan.
“Akibatnya, ia menimbulkan krisis antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Pencemaran air dan udara akibat perlombongan bauksit di Kuantan sudah tidak terkawal,” katanya dipetik dari artikel beliau di akhbar Berita Harian, semalam.
Menurutnya lagi, setiap komponen dalam perlombongan berupaya mencemar dan memudaratkan ekosistem yang sekaligus menjejaskan komuniti dan aktiviti lain.
Komponen berkenaan merangkumi kawasan perlombongan dan pembuangan sisa lombong, sistem pengangkutan bijih dan pelabuhan serta sistem pemprosesan bijih kepada produk boleh pasar.
Sementara itu, dilaporkan kandungan logam berat arsenik ditemui dalam sampel ikan yang ditangkap di Sungai Pengorak antara 70.8 hingga 104.5g/kg sekaligus melebihi tahap piawai 1mg/kg arsenik dalam ikan dan produk perikanan mengikut Peraturan Makanan Malaysia 1985.