Bagi ibu bapa, menyediakan duit belanja untuk anak sekolah adalah tanggungjawab harian yang kadang-kadang menjadi cabaran, terutamanya bagi keluarga yang kurang berkemampuan.
Ada ibu bapa yang lebih gemar menyediakan bekalan sendiri untuk anak ke sekolah, memastikan mereka mendapat makanan yang cukup dan berkhasiat sepanjang hari.
Menerusi Thread, seorang wanita berkongsi kisah anak sulungnya yang merajuk dan tidak mahu ke sekolah kerana jumlah duit belanja diberikan bapanya dikatakan sedikit.
Dalam perkongsian tersebut, anaknya yang berusia 10 tahun itu sering pulang dengan rasa kecewa kerana diberikan RM1 untuk belanja lapor Kosmo! Online.
“Semalam anak buat hal, dia tak mahu ke sekolah. Dekat 30 minit saya dan suami pujuk dan tanya apa puncanya.
“Dia kata malu dengan kawan-kawan sebab dia bawa duit belanja RM1, yang lain bawa RM3. Dia boleh beli sosej atau nuget sahaja setiap hari,” kongsi wanita itu di Threads.
Jelas wanita tersebut, suaminya sebelum ini memberi RM3 sebagai duit belanja namun selepas anak sulungnya mengalami cirit-birit dia mula menyediakan bekal makanan.
“Rupanya anak tetap nak membeli walaupun dah ada bekal. Budak-budak ini memang pantang nampak kawan berbelanja, dia pun nak juga.
“Tak apalah nak, lepas ini ibu boleh tenang-tenang sahaja waktu pagi, tak perlu bekal kembali balik rutin bagi duit belanja RM3,” tambahnya.
Baca juga: Ibu terkejut ‘game’ kanak-kanak ada elemen dewasa, seru ibu bapa pantau gajet anak