Gara-gara kerap minum air panas, Wawa Zainal ditahan di hospital – “Sampai tak boleh berdiri!”

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Wawa Zainal terpaksa ditahan di hospital selama satu malam selepas didapati mengalami serangan gastrik yang agak teruk sehingga mengakibatkan dirinya tidak mampu berjalan.

Perkara ini didedahkan oleh suaminya, Aeril Zafrel yang juga merupakan seorang pelakon selain memaklumkan masalah tersebut dipercayai berpunca daripada tabiat Wawa yang terlalu gemar meminum air panas.

Menurut Aeril ataupun nama sebenarnya Suhairil Sunari, pihak doktor sudah menasihati Wawa untuk tidak terlalu kerap meminum air panas namun pelakon terbabit masih belum meninggalkan tabiatnya.

Jelas Aeril lagi, Wawa sememangnya menghidap gastrik namun mulai mengalami luka dalaman pada bahagian perutnya akibat daripada tabiat meminum air yang terlalu panas.

Namun pelakon berusia 37 tahun itu bersyukur isterinya hanya ditahan selama satu malam dan dibenarkan untuk keluar hari ini selepas keadaannya kembali stabil, lapor Kosmo.

“Wawa kena gastrik semalam, sampai tak boleh berdiri. Terpaksa bawa dia pergi ambil suntikan dan terus masuk ke wad. Saya sudah cakap, kalau tak nak pergi ke hospital awal-awal nanti susah.

“Dia degil, tetapi saya tak ada pilihan lain. Gastrik dia agak teruk sebab terlalu kerap meminum air panas. Padahal doktor sudah nasihatkan, tetapi dia tetap nak juga. Alhamdulillah, hari ini dia sudah keluar.

“Semoga jadi pengajaran untuk jaga pemakanan selepas ini,” katanya memetik laporan Kosmo pada sidang media Pelancaran Komik Kolaborasi Under18 x Klepet di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL).

Baca juga: Kecoh SPRM bongkar penemuan stor simpanan arak mewah di kediaman milik Tan Sri