Bukan senang nak mencari makanan halal di luar negara, maka ramai yang sanggup memandu jauh demi mengenyangkan perut,
Buat penyanyi yang menghabiskan 14 tahun untuk karier seni di Amerika Syarikat, Yuna tidak menyangka namanya akan disenarai hitam oleh negara Kanada untuk beberapa tahun.
Berkongsi dalam satu audio siar atau ‘podcast’ Debonair, Yuna menceritakan semula insiden yang berlaku di awal karier di luar negara.
Dia dan beberapa rakan memaklumkan teringin menikmati piza selepas selesai membuat persembahan di Detroit, Amerika Syarikat.
Namun hanya ada satu kedai masih beroperasi pada pukul 1 pagi yang menyediakan menu halal dan mereka dengan segera mengikut navigasi dalam telefon bimbit.
“Masa tu sudah lewat malam dan kami teringin nak makan piza. Kemudian kami dapat tahu masih ada sebuah kedai masih beroperasi.
“Mengetahui kedai tersebut halal, kami terus memandu dan selepas beberapa jam, kami melihat ada papan tanda mengatakan, anda kini sedang meninggalkan Amerika Syarikat.
“Kemudian kami melalui satu terowong dan tiba di kawasan sempadan Kanada-AS,” ujarnya.
Mengakui terkejut akan kedai yang sebenarnya berada di negara sebelah, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai memaklumkan dia dan rakan tidak dapat masuk kerana tiada visa.
“Memang mengejutian dan kami cuba terangkan kepada kakitangan di situ, tetapi malangnya tidak berjaya kerana tiada visa, walaupun kami bawa pasport,” tambahnya.
Penyanyi berusia 38 tahun itu mendedahkan disebabkan kejadian itu, namanya disenarai hitam negara tersebut.
“Untuk beberapa tahun saya disenarai hitam. Jadi, jika ingin membuat persembahan di Kanada, saya perlu melalui pemeriksaan yang sangat ketat (oleh imigresen).
“Malang sekali dalam kejadian itu kami tidak dapat makan piza,” jelasnya yang berkongsi kisah perjalanan awal karier muzik di AS.
Baca juga: Sajat sebak akhirnya bertemu dengan anak lepas 4 tahun terpisah, jejak kasih di Singapura