Gara-gara ramai berhijrah keluar, kampung di Perak ini tinggal 10 penghuni sahaja

Oleh KIM SYAZIE

Siapa sangka di pinggir Sungai Perak terdapat sebuah kampung yang hanya dihuni 10 penduduk sahaja dengan enam buah rumah kayu.

Lebih menarik, sambutan hari raya di kampung tersebut kekal meriah kerana pada musim perayaan, ratusan anak perantau akan pulang ke kampung dan menunaikan solat di salah sebuah masjid di kampung itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Azman Basir, 60, penghuni di kampung itu semakin berkurangan kerana mereka berpindah ke kawasan baharu berikutan Kampung Bandar kerap dilanda banjir.

“Banjir berlarutan sejak lama dan ia umpama rutin tahunan kerana kedudukan kampung kami betul-betul di pinggir Sungai Perak.

“Pada 2014, 40 penduduk dipindahkan ke Taman Tan Sri Megat di Bukit Chawi kira-kira tujuh kilometer (km) dari sini.

“Namun, mereka masih kerap datang ke sini kerana bekerja di kebun sawit selain menjadi nelayan darat,” katanya memetik Harian Metro.

Kongsi Azman lagi, ejaan asal kampung itu sebenarnya adalah ‘Bandau’ yang bermaksud pelabuhan kerana pernah menjadi kawasan laluan perdagangan sekitar abad ke-19.

Katanya, antara bangunan lama masih wujud di kampung itu adalah Masjid Al-Madinah yang dibina pada 1890.

Baca juga: Anggota PDRM mati tertembak kepala sendiri di pos pengawal