Siapa sangka, perniagaan milik Amir Raja Lawak bakal berdepan dengan ugutan boikot hanya kerana pelawak itu menggunakan slogan popularnya, Amirreka.
Disangka mempunyai kaitan dengan negara Amerika Syarikat, Amir Raja Lawak menyangkal tuduhan tidak berasas yang dilontarkan oleh pengguna media sosial itu.
Menerusi ruangan komen yang ditulis di akaun Facebooknya, Amir tampil memberi penjelasan kepada semua pengikut bahawa slogan itu memiliki maksud tersendiri.
Amir yang kini bergelar usahawan turut menegaskan bahawa perniagaan ‘Air Jagung Amirreka’ miliknya sama sekali tidak ada kaitan dengan negara Uncle Sam itu.
“Ya Allah, sudah terang-terang ‘Amirreka’ ini bermaksud Amir reka atau Amir yang reka. Air jagung Amirreka ini dah tentu maksudnya air jagung amir yang reka,” tulisnya.
Pelawak berusia 34 tahun itu kemudian memuat naik hantaran lain bagi meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati sebelum membuat dakwaan yang berbahaya.
Boleh menjejaskan perniagaannya, anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan itu juga khuatir jika masalah yang berlaku ini menyebabkan ejen-ejennya terkena tempias.
“Saya ‘Amir Reka’ bukan Amerika. Mohon bezakan baik-baik ya. Saya mohon maaf jika ada yang keliru. Saya harap dengan penjelasan di komen ini semua jelas ya.
“Saya ini ada ejen dan mereka juga cari rezeki. Kasihan ejen-ejen saya kalau perniagaan terjejas disebabkan benda-benda begini.” Jelas pemilik nama sebenar Mohammad Amirullah Azmi itu
Sementara itu, Amir turut mendedahkan bahawa ada individu yang mencadangkan agar pelawak itu menukar slogan air jualannya kepada ‘Amirgaza’ atau ‘Amirpalestin’.
Insiden ini dipercayai berpunca dari semangat orang ramai bagi memboikot perkara berkaitan dengan negara Amerika Syarikat susulan kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin.
Walaupun komen pengguna media sosial itu mungkin ditulis bertujuan untuk bergurau, namun perlu diingatkan bahawa isu sensitif seperti ini tidak boleh dibawa main.
Sekadar info, slogan ‘Amirreka’ telah lama digunakan pelawak itu ketika menyertai pertandingan Raja Lawak Astro musim ke-3 yang berlangsung pada tahun 2009.
Baca juga: Usik Ruhainies datang rancangan untuk menyondol, aksi Janna Nick buat netizen menyampah