Gara-gara watak ‘haruan makan anak’, ramai nak boikot perniagaan Rosyam Nor?

Oleh MALAYSIADATELINE

Setiap watak jahat sering memberi impak lebih besar kepada masyarakat hingga ramai mula meluahkan rasa benci kepada pelakon tersebut.

Drama ‘Keluarga Itu’ yang disiarkan di TV3 mendapat kritikan banyak pihak dan watak yang paling dibenci digalas oleh pelakon Rosyam Nor.

Kongsinya, ada pihak yang meminta orang ramai memboikot pasar raya miliknya, ST Rosyam Mart namun dia hanya menganggap ia sebagai gurauan lapor Kosmo! Online.

“Memang betul ada yang bagi tahu saya watak bapa durjana, Iman membuatkan ramai sakit hati dan mahu boikot ST Rosyam Mart. Sebenarnya mereka tidak maksudkan pun, itu cuma gurauan.

“Orang tak benci Rosyam Nor, orang marah pada Iman, seorang ketua keluarga yang sepatutnya jadi pelindung tetapi bersikap menjijikkan.

“Dulu masa mula-mula nak buka ST Rosyam Mart pada 2018 pun ramai yang kata nak boikot, tapi alhamdulillah apabila timbul perkara sebegitu mereka sebenarnya sedang mempromosikan perniagaan saya,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Buat Rosyam, watak Iman adalah untuk memberi pengajaran kepada masyarakat apatah lagi kejadian itu banyak berlaku dalam dunia sebenar cuma tidak dilaporkan.

Jelasnya, watak Iman itu tidak sensasi, namun dia terpaksa mencuba untuk menjadikan wataknya jijik dan menyeramkan.

“Iman tidak sensasi, tapi pelakuan karakter terbabit yang membuatkan penonton ‘panas’. Mungkin ramai dalam kalangan kita tahu hal seperti dalam drama itu terjadi, tapi tidak dapat mendedahkannya kerana tiada bukti.

“Tapi melalui watak saya sebagai Iman dengan perlakuan saya yang nampak jijik dan menyeramkan, itulah yang sebenarnya terpaksa dihadapi mangsa mangsa.

“Individu yang mereka sayang sebenarnya seorang binatang. Itulah watak Iman yang ditulis Erma Fatima.

“Kemudian saya bentuk perwatakan lelaki berkenaan sebagai iblis dan syaitan bertopengkan manusia yang tidak pedulikan darah dagingnya.

Baca juga: Pelanggan dakwa Kek Hitam ‘Premium’ milik pempengaruh berkulat, tak berbaloi beli RM39