Gaya hidup mewah rupanya helah, kondo jadi markas edar dadah

Oleh MALAYSIADATELINE

Semakin ramai pengedar dadah kini bijak berselindung di sebalik gaya hidup mewah, memandu kereta import, menyewa kondominium eksklusif, dan bergaya seperti usahawan berjaya.

Rupa-rupanya, kemewahan itu cuma topeng kepada kegiatan haram yang menjana puluhan ribu ringgit melalui pengedaran dadah.

Taktik licik seorang lelaki menyewa dua kondominium mewah sebagai stor dan pusat pengedaran dadah akhirnya terbongkar.

Kediaman eksklusif di Jalan Haji Saman dan Jesselton itu dijadikan ‘markas rahsia’ menyimpan syabu, ketamin dan pil ekstasi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Namun taktik ‘port selamat’ itu tidak kekal lama apabila polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu menyerbu salah satu unit pada 4 Julai lalu, jam 7.45 malam.

Menurut Berita Harian, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun, disyaki dalang utama sindiket, berjaya diberkas.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg berisi syabu seberat 790.56 gram.

Turut dirampas ialah mesin kira wang, penimbang digital dan peralatan membungkus dadah.

“Esoknya, satu lagi kondominium mewah yang turut disewa suspek turut diserbu dan menemui dua paket plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 14.14 gram.

“Tidak cukup dengan dua ‘port’ itu, suspek kemudian membawa pasukan serbuan ke sebuah kereta Toyota Yaris yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci.

“Kereta tersebut ditinggalkan di kawasan letak kereta awam berhampiran Sabah Art Gallery Outdoor Artspace,” jelasnya seperti dipetik Berita Harian.

Turut dirampas dadah jenis ketamin seberat 6.9 kilogram, 25 peket jus ekstasi dan 10 biji pil ekstasi. Jumlah rampasan dadah dianggarkan bernilai RM960,000.

Selain itu, polis turut menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Hilux, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1.23 juta.

Saringan awal air kencing suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, namun dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek kini ditahan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Baca juga: