Gelang emas 916 jatuh dalam lubang tandas, wanita saran jangan beli perhiasan jenis ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita hampir berputih mata apabila perhiasan emas tulen berupa gelang jenis ‘bangle’ yang baru dibeli terjatuh ke dalam lubang tandas dipercayai disebabkan oleh keadaan cangkuk.

Menurut wanita itu, cangkuk pada gelang emas gred 916 tersebut sebenarnya sudah longgar selepas dipakai dalam tempoh seminggu sebelum dihantar semula ke kedai untuk dibaiki.

Gelang itu kemudian dipakai kembali sebelum terjatuh ke dalam lubang tandas dipercayai disebabkan oleh keadaan cangkuk pada perhiasan yang longgar semula walaupun sudah dibaik pulih.

Nasib bagaimanapun masih menyebelahi wanita terbabit apabila suaminya yang ‘berkorban’ dengan menyelukkan tangan ke dalam lubang tandas itu berjaya menemukan gelang emas berkenaan.

Wanita itu kemudian tampil menceritakan semula insiden tersebut menerusi satu perkongsian di platform Threads dengan saranan agar orang ramai tidak membeli gelang emas bersama cangkuk serupa.

“Kamu semua kalau nak beli ‘bangle’ 916, mohon jangan ambil gelang yang jenis bercangkuk macam ini. Katanya ini jenis cangkuk baharu dan tiada besi langsung. Emas semuanya. Tetapi sangat tidak tahan lasak ya.

“Mudah tersangkut dekat baju. Tetapi saya tetap sayang. Selepas beli, pakai dalam seminggu kemudian tiba-tiba cangkuknya longgar. Hantar pergi baiki dan elok semula. Eh, semalam dia terjatuh dalam lubang tandas.

“Terpaksalah suami saya menyelukkan tangan ke dalam lubang jamban dan jumpa. Kalau nak tolak ke kedai dan beli yang lain, sayang pula. Sebab rekaannya cantik,” kata wanita itu dalam perkongsian tersebut.

Dalam perkongsian yang sama, wanita itu memaklumkan bahawa gelang tersebut sudah dihantar ke tukang emas untuk ditambah cangkuk lebih selamat di bahagian kiri dan kanan perhiasan dengan menambah sedikit wang.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna Threads bersetuju dengan tindakan wanita terbabit memasang cangkuk selain berkongsikan rekaan selamat untuk gelang emas jenis bangle.

Berikut adalah antara jenis cangkuk yang dicadangkan oleh orang ramai untuk ditambahkan ke gelang emas tersebut.

Baca juga: Bajet tak cukup nak upah tukang, ibu tunggal bina rumah sendiri belajar dari YouTube