Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai penipu dan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, tindakan mahkamah itu kerana pembohongan Zahid yang memfitnahnya.
Pendirian Mahathir itu susulan kenyataan Ahmad Zahid pada 2017 yang mempersoalkan asal usulnya.
Ahmad Zahid dilapor berkata, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa nama asal Mahathir ialah “Mahathir a/l Iskandar Kutty.”
Walaupun dia tidak menamakan Mahathir secara khusus, Ahmad Zahid ada menyebut ‘bekas perdana menteri serta 22 tahun beliau berkuasa’.
Sehubungan itu, Dr Mahathir mencabar Ahmad Zahid untuk menunjukkan bukti mengenai identiti dirinya yang dipertikai status bangsa sebagai Melayu.
“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah.
“Sebelum ini saya tidak gemar mengguna mahkamah walau ramai yang memfitnah saya kerana saya sedar dalam kempen politik, akan ada yang bertindak di luar batas dan had.
“Tetapi kali ini saya berasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Ahmad Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu saja,” katanya menerusi blog serambichedet.com hari ini.
Bagi bekas Perdana Menteri dua kali itu, ia bukan saja merosak reputasinya tetapi penipuan Zahid kepada penyokong Umno dan orang Melayu lain demi mahu kekal berkuasa amat berbahaya.
Selain bosan dengan sikap Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, Mahathir berkata, tindakan saman yang diambil hanya sebagai usaha untuk menutup penipuan Ahmad Zahid menerusi proses mahkamah.
“Ahmad Zahid ini penipu. Orang putih kata ‘compulsive liar’, pembohong tegar. Dulu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dia keluar kenyataan kononnya kad pengenalan saya yang asal menamakan saya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty.
“Ya, saya memang ada darah keturunan India dan ini saya nyatakan dalam buku saya. Saya tidak nafi. Tapi hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalan saya adalah Mahathir bin Mohamad,” jelasnya lagi.