Alangkah terkejutnya sepasang suami isteri apabila melihat perkarangan rumah mereka yang dinaiki air bah setinggi satu meter tiba-tiba bertukar menjadi warna merah.
Kejadian yang berlaku di Kampung Telaga Bata, Tumpat, Kelantan itu sempat dirakam sebelum dikongsikan oleh sang suami dikenali sebagai Mohd Azam Jusoh itu di akaun TikTok miliknya.
Azam yang bekerja sebagai kakitangan awam itu berkata, kejadian pada mulanya disedari isterinya, Hashah Ismail, 36, pada jam 12 tengah hari, Ahad lalu selepas melihat air jenih di sekeliling rumah tiba-tiba bertukar warna merah.
Menurut Azam, rumahnya memang berkedudukan tinggi dan tidak terjejas banjir namun kawasan sekeliling adalah laluan air menyebabkan kejadian ‘bah merah’ itu dapat disaksikan oleh mereka, lapor Sinar Harian.
Pertukaran warna bah itu difahamkan hanya terjadi dalam tempoh kira-kira 15 minit sahaja sebelum air banjir di perkarangan kediaman berkenaan kembali jernih seperti sedia kala.
“Saya terkejut apabila isteri menunjukkan video yang dia ambil, air banjir tersebut berwarna merah. Laluan masuk dan kawasan sekeliling rumah kami memang dinaiki air sejak Khamis kerana hujan lebat.
“Tetapi airnya jernih dari Sungai Golok sebelum secara tiba-tiba bertukar warna merah,” kata penjawat awam yang berusia 35 tahun itu memetik laporan Sinar Harian.
Pada mulanya, Azam tidak mengetahui punca air bah itu bertukar menjadi warna merah namun dapat mengagak ia datang dari perwarna sos cili kerana kilangnya terletak tidak jauh dari rumah.
Walaupun kilang sos cili itu sudah tidak beroperasi sejak enam tahun lalu, namun Azam tetap tidak menolak kemungkinan bahawa pewarnanya tertumpah sebelum menyebabkan air bertukar menjadi warna merah.
“Awalnya memang terkejut sebab tidak tahu dari mana datangnya warna merah tersebut. Petang itu baru tahu rupa-rupanya pewarna dari kilang sos cili yang terletak 300 meter dari rumah kami.” Ujarnya.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian rakaman kejadian tersebut telah tular di aplikasi TikTok dan berjaya meraih sebanyak 1 juta tontonan serta 12,100 tanda suka daripada pengguna platform berkenaan.
Baca juga: Khairul Aming buka mulut lepas tular dakwaan pihak catu bantuan banjir diberikannya