“Gemuk sangat ke saya ni?” – Diana Danielle tolak pembedahan bariatrik, mahu kurus secara semula jadi

Oleh MAISARAH AISYA

Kebanyakan artis dan orang biasa memilih pembedahan bariatrik untuk menyekat selera makan serta kurus dengan lebih cepat.

Namun harus diingatkan setiap prosedur itu ada sisi positif dan negatifnya maka tak terkejut jika ada yang mahu mengurangkan berat badan secara semula jadi.

Buat pelakon Diana Danielle, dia menolak tawaran untuk melakukan pembedahan tersebut kerana badannya tidak berada dalam kategori obesiti lapor Kosmo! Online.

“Saya terima mesej daripada seorang doktor menawarkan pembedahan ikat perut atau bariatrik tetapi tak layan sebab masalah saya bukan sebab tak boleh turun berat badan, cuma diri sendiri yang tidak mahu.

“Berat badan saya bukan dalam kategori kritikal, doktor itu beritahu bariatrik tersebut ditawarkan kepada saya untuk cepat kurus secara percuma.

“Ketika itu rasa macam gemuk sangat ke badan saya? Saya jadi tertanya-tanya kenapa dia boleh nak tawar prosedur itu sedangkan saya hanyalah chubby (tembam) sahaja dan bukan calon yang sesuai,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Lebih memilih diet dan gaya hidup sihat

Bagai wanita berusia 33 tahun itu, Diana lebih selesa menjaga pemakanan daripada mengambil jalan pintas untuk mendapatkan bentuk badan ideal.

“Bagi saya kalau kita tahu cara nak kurus, proses itu tak ambil masa lama pun. Jaga makan, selalu aktif dan cukup tidur.

“Kita kena tahan diri daripada pengambilan makan makanan manis, benda itu orang kata bukanlah sesuatu yang susah sangat,” ujarnya lagi.

Takut impak negatif di masa depan

Pelakon Imaginur itu juga berpendapat bahawa bariatrik sememangnya memberi kesan yang pantas tetapi tetap mempunyai impak negatif pada masa akan datang.

“Mungkin bagi sesetengah orang bariatrik adalah jalan mudah, hakikatnya ada implikasi yang lebih serius selepas itu.

“Terutamanya apabila kita masih muda, masih panjang lagi perjalanan kita. Bila orang kata dah robek-robek perut (pembedahan), kita tak akan tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

“Setiap orang mempunyai keadaan berbeza-beza (tubuh badan). Contohnya kalau badan tidak terlalu besar, saya rasa masih ada jalan yang lebih selamat.

“Namun, kalau dilakukan atas faktor kesihatan, memang perlu tetapi jika mahu kurus, ada cara lebih sihat,” katanya lagi.

Baca juga: Gemar menunjuk, Kak KM ambil pengajaran lepas rumah dipecah masuk