Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad menyeru orang ramai supaya berkumpul di hadapan Penjara Sungai Buloh pada 9 Februari ini menjelang genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tahanan politik.
Beliau menyifatkan Anwar yang telah banyak berkorban itu menjadi mangsa fitnah sehingga membawa kepada keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman lima tahun penjara terhadapnya.
“Jangan dilupa manusia yang bernama DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang sedang dalam penjara hasil fitnah jahat. Beliau pejuang rakyat dan bagaikan lilin yang membakar diri demi orang lain untuk mendapatkan cahaya.
“Maka pada 9 Februari ini, marilah kita bersama-sama berkumpul di hadapan Penjara Sungai Buloh untuk memberitahu DSAI serta kerajaan Umno-BN bahawa rakyat tidak pernah lupa akan perjuangan beliau dan rakyat akan tetap terus berdiri teguh bersamanya,” ujarnya dipetik dari blog beliau.
Sementara itu, beberapa papan iklan (billboard) menuntut Anwar dibebaskan didirikan di beberapa kawasan sekitar Selangor antaranya di Kuala Langat.
Flashmob bagi tujuan sama turut diadakan di Lembah Kelang termasuk di bulatan Subang Jaya mulai jam 5 petang semalam.
Himpunan 365 di Penjara Sungai Buloh pada Selasa ini dijangka melibatkan penyertaan banyak pihak termasuk aktivis Reformasi 1998, badan-badan NGO dan komponen parti Pakatan Harapan.
Malaysia Dateline difahamkan program konvoi ke penjara berkenaan turut akan diadakan dengan masing-masing berkumpul di R&R Jejantas Sungai Buloh bermula jam 7 malam.
Peserta konvoi yang memakai baju-T Otai Reformis ’98 itu seterusnya dijadualkan akan bergerak ke penjara itu dengan konsep ‘car pool’ selepas solat Marghrib dan Isyak di R&R tersebut.
Hukuman ekoran tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan itu sekaligus menamatkan kerjaya Anwar sebagai ketua pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 2014.
Anwar tegas mempertahankan pendirian bahawa tuduhan salahlaku seks itu adalah konspirasi politik untuk menamatkan kerjaya politik beliau seperti yang berlaku pada 1998.