Kebanyakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tergolong dalam kumpulan B40 masih lagi belum terbela sepenuhnya, kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata hal demikian berlaku lantaran kurangnya kesedaran masyarakat dalam soal kebajikan berkaitan golongan istimewa terbabit.
Dalam masa yang sama, beliau menghargai usaha pihak jabatan, agensi yang terbabit dalam menguruskan soal pendidikan dan kebajikan OKU serta semua NGO dan aktivis yang komited membantu OKU sepanjang Covid-19 melanda.
“Golongan OKU punyai hak yang sama rata dengan kita, mereka harus disantuni dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata demikian sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia setiap 3 Disember oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tema sambutan OKU di peringkat antarabangsa berkaitan pandemik iaitu ‘Kepimpinan dan Penyertaan Orang Kurang Upaya Ke Arah Dunia yang Inklusif, Boleh Dicapai dan Mampan Pasca-Covid-19.’
Di peringkat negara pula, tema ditetapkan ialah ‘Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik Covid-19.
“Saya percaya kedua-dua tema ini dirangka menjurus kepada kurangnya kebolehupayaan golongan OKU yang jelas terkesan akibat pandemik yang melanda dunia sebelum ini,” tambah Mohamad lagi.