Gong Xi Fa Cai diharap kukuh perpaduan, baiki keadaan negara

Oleh MALAYSIADATELINE

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan IsmailTahun Baru Cina yang disambut masyarakat Tionghoa hari ini diharap dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum sekaligus meningkatkan usaha rakyat untuk memperbaiki keadaan ekonomi, sosial dan politik negara yang semakin suram.

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusannya mengajak rakyat menanam iltizam dan semangat yang baru untuk terus berusaha memperbaiki keadaan dalam negara, berjuang menegakkan keadilan serta membangun insan yang mampu membina negara yang baik, adil dan makmur.

“Jika kamu mahu kemakmuran setahun, tanamlah bijirin. Jika kamu mahu kemakmuran sepuluh tahun, tanamlah pokok. Jika kamu mahu kemakmuran seratus tahun, bangunkan lah insan,” ujarnya memetik kata-kata hikmah.

Menurut beliau, apa yang dilakukan hari ini mempunyai kesan dan implikasi yang besar pada hari esok sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun politik.

“Terlalu jelas bahawa apa yang dilakukan Putrajaya pada hari ini belum cukup untuk menjamin masa depan yang lebih cerah untuk masa depan anak cucu kita,” kata Presiden PKR itu.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu pula berharap tahun monyet (mengikut kalendar lunar) kali ini membawa kebahagiaan dan keuntungan berterusan dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi di negara kita ini.

“Semoga tahun baru ini membawa rakyat Malaysia ke arah perpaduan yang lebih erat dan bersatu padu untuk menolak ketidakadilan kaum dalam negara kita,” ujar beliau.

Mohamad juga mendoakan agar tahun ini dihadapi dengan tabah dan dengan penuh bahagia.