GPS bentuk kerajaan negeri

Oleh ARIF ATAN

Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baharu selepas menang 42 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12).

Mengikut keputusan tidak rasmi setakat 7.45 malam ini, GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menang di 42 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, berbanding pembangkang yang hanya menang satu kerusi.

Abang Johari yang pertama kali bertanding di kerusi DUN Gedong selepas berpindah dari DUN Satok yang disandangnya sejak sembilan penggal lalu, menang dengan 4,310 undi.

Beliau menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini, yang memperoleh 703 undi, calon Parti Amanah Negara, Cikgu Kamal (94 undi) dan calon Parti Bumi Kenyalang, Tomson Ango (157 undi).