Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerajui kerajaan negeri Sarawak disaran supaya lebih menumpukan perhatian kepada kesihatan rakyat daripada terus berpolitik.
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg harus lebih peka dengan keadaan semasa berkaitan kesihatan rakyat khususnya kepada pengurusan Covid-19 di negeri ini.
Katanya, memandangkan Proklamasi Darurat hanya akan berakhir pada Februari 2022, adalah tidak perlu GPS mengambil langkah untuk meminta Yang Di-Pertuan Agong membatalkannya sekali gus mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 sebelum akhir tahun ini.
“Kes Sarawak berbeza dengan Melaka kerana negeri itu tidak dikuatkuasakan Perintah Darurat dan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Melaka mesti mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari daripada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka.
“Manakala Sarawak pula merupakan antara negeri dengan jumlah kes jangkitan Covid-19 tertinggi walaupun terdapat pengurangan besar dalam ujian yang dilakukan selama satu bulan terakhir ini.
“Selain itu, Sarawak juga telah merekodkan jumlah kematian Covid-19 kedua tertinggi di Malaysia,” tegas beliau dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.
Sehubungan itu, Chong mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak memandang ringan mengenai kesihatan rakyat Sarawak dengan mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini.
“Kita bercakap mengenai kehidupan rakyat Sarawak yang tidak boleh dipandang ringan oleh GPS.
“Dan jangan sesekali meletakkan kepentingan politik anda di atas kehidupan dan kesihatan rakyat sebelum berakhirnya Poklamasi Darurat pada 2 Februari tahun depan,”tegas Chong lagi.