Penceramah bebas, PU Syed tampil memberikan teguran terbuka buat penyanyi Datuk Nora Ariffin mengenai penggunaan teknologi kecerdasan (AI) di dalam Konsert Hanya Satu – Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey pada Rabu lalu.
Hal ini kerana dalam konsert tersebut, Nora menampilkan wajah arwah suaminya iaitu Allahyarham Johan Nawawi dan menggunakan teknologi AI untuk berduet bersama dengan mendendangkan lagu Impian.
Menerusi satu hantaran video di platform Instagram, PU Syed memberi peringatan bahawa penggunaan teknologi AI untuk tujuan yang tidak membawa manfaat seperti bernyanyi adalah tidak dibenarkan oleh syarak.
Lebih memburukkan keadaan, penggunaan teknologi itu untuk ‘menghidupkan’ semula arwah di dalam konsert berkenaan juga mungkin boleh mendatangkan keaiban kepada suami pertamanya dan dirinya sendiri.
“Saya dapat satu video pendek daripada seorang hamba Allah yang meminta saya respons tentang penyanyi Nora. Dia buat duet bersama dengan arwah suaminya ketika dalam satu konsert.
“Perbuatan menggerakkan gambar dibuat tanpa tujuan yang baik. Maka ia tidak dibenarkan. Kepada Puan Nora, harap tidak melakukan perkara seperti itu lagi sebab tidak dibenarkan oleh syarak.
“Menghidupkan gambar dengan tujuan berduet untuk menyanyi dan ia boleh mendatangkan keaiban kepada beliau dan juga arwah,” nasihat pendakwah berkenaan dalam hantaran tersebut.
Dalam perkongsian yang sama, PU Syed turut berkongsi pandangan bahawa tindakan sedemikian sememangnya perlu dielakkan ekoran tidak bersesuaian dengan status terkini Nora sebagai isteri orang.
Penceramah terbabit turut menyarankan supaya pelantun lagu Samudera itu merujuk portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sekiranya mahu mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.
“Puan Nora merupakan isteri kepada orang lain. Kena jaga hati suami supaya tidak menyakiti hatinya,” ujar PU Syed atau nama sebenarnya, Mohd Bakri Syed Ishak dalam video tersebut.
Terdahulu, penyanyi berusia 51 tahun itu mengakui telah mendapatkan keizinan daripada suami baharunya, Rushdi Ramli sebelum berduet dengan Allahyarham Johan menggunakan teknologi AI dalam konsert sulungnya, Rabu lalu.
Malah pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin itu sebenarnya merancang untuk menggunakan teknologi hologram agar kelihatan lebih ‘real’ namun membatalkan niatnya kerana kekangan bajet selain mengelak timbulnya kontroversi.
Baca juga: Kesian tengok abang polis trafik turun ramai-ramai bantu surutkan banjir