Guna satu logo: Yakinkan pengundi PH serius jadi kerajaan, kata AMANAH dan DAP

Oleh NASUHA RAHMAN

AMANAH dan DAP berpendapat penggunaan satu logo bersama amat penting untuk meyakinkan pengundi bahawa Pakatan Harapan serius untuk menjadi kerajaan, dan berusaha bergerak bersama sebagai satu pasukan dalam pilihan raya.

Dalam kenytaan bersama Mohamd Sabu dan Lim Guan Eng hari ini berkata, pengundi atas pagar lazimnya akan memberi sokongan positif kepada mana-mana gabungan yang mereka yakin mampu menang serta dilihat bekerjasama sebagai satu pasukan walaupun ada beberapa perbezaan antara mereka.

“AMANAH dan DAP akan terus mengekalkan Pakatan Harapan. Kita masih ada tiga kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk meneruskan usaha memenuhi keperluan rakyat.

“Atas sebab inilah, AMANAH dan DAP akan tetap menggunakan logo Pakatan Harapan bagi meneruskan usaha untuk kembali menjadi kerajaan,” katanya.

Bagi AMANAH dan DAP menggunakan satu logo bersama, ia akan memudahkan pengundi melihat AMANAH, DAP, PKR and UPKO sebagai satu gabungan Pakatan Harapan yang padu dalam kalangan pelbagai parti politik baharu dan lama yang masuk ke gelanggang pilihan raya kali ini.

“Walau apapun keputusan PKR, kedua-dua AMANAH dan DAP akan terus bekerjasama dengan PKR serta parti-parti pembangkang lain termasuk MUDA untuk menawarkan satu barisan yang bersatu padu bagi meyakinkan pengundi untuk memilih kerajaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya Johor,” katanya lagi.

Jelasnya, AMANAH dan DAP akan terus menggunakan logo Pakatan Harapan sebagai tanda perpaduan yang mencerminkan iltizam masa hadapan serta aspirasi untuk membentuk kerajaan melalui sebuah gabungan yang bersatu padu.

“Sebagai satu gabungan, sudah tentu AMANAH dan DAP inginkan semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang bersama yang berpegang kepada matlamat bersama dan agenda politik bersama.

“Kedua-dua AMANAH dan DAP berpendapat bahawa parti-parti komponen serta parti-parti sahabat perlu duduk bersama, sama ada sewaktu senang atau sewaktu susah,”katanya.

Katanya, sepanjang 65 tahun Merdeka, kerajaan yang memerintah sentiasa terdiri daripada gabungan parti-parti politik, tidak pernah ada sebuah parti yang menang bersendirian atau berhak memerintah sendiri.

Kerana itulah, katanya Umno sentiasa bersama dengan Barisan Nasional dan terus menggunakan logo Barisan Nasional walaupun ia merupakan parti yang dominan di negara ini sejak beberapa dekad lalu.

Apabila memenangi pilihan raya umum 2018, Pakatan Harapan akhirnya didaftarkan dengan logonya sendiri.

Malah untuk kembali ke arena politik, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggunakan logo Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada Oktober 2018.

Pengecualian menggunakan logo ini hanya diberikan kepada parti-parti komponen Pakatan Harapan di Sabah dan Sarawak atas dasar status istimewa serta kuasa autonomi wilayah-wilayah Borneo ini.