Guru boleh mohon tukar lepas 2 tahun berkhidmat, ini 6 berita gembira diumum KPM

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan enam berita gembira untuk warga pendidik di seluruh negara sempena sambutan Hari Guru Ke-54 yang diraikan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Khabar gembira pertama yang dinanti-nantikan oleh para guru akhirnya menjadi kenyataan apabila Fadhlina mengumumkan bahawa permohonan pertukaran boleh dibuat selepas berkhidmat cukup dua tahun tanpa syarat.

Perkara itu diumumkan Fadhlina dalam ucapan aluannya bersempena sambutan Hari Guru 2025 bertemakan Guru Pemacu Reformasi Pendidikan yang dihadiri oleh kira-kira 5,000 warga pendidik di negeri berkenaan.

Khabar berikutnya adalah Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan seramai 1,470 orang personel MyPg iaitu pembantu guru dan sekolah terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan akan menerima dua kakitangan.

Fadhlina turut mengumumkan bahawa 32 guru terpilih akan berpeluang merasa pengalaman bertugas di sekolah antarabangsa di United Kingdom secara percuma di bawah Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).

Guru ini akan dipilih dalam kalangan penerima Anugerah IKON, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan, lapor Berita Harian.

Khabar gembira keempat adalah KPM akan menghantar guru dan pegawai terpilih mengikuti program kursus jangka pendek di luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam beberapa bidang terpilih.

Manakala untuk inisiatif kelima, guru akan diberi diskaun 20 peratus bagi pembelian tiket penerbangan ke seluruh destinasi melalui portal MH GoM dan yang terakhir adalah potongan harga buku secara dalam talian menggunakan ID DELIMa KPM antara 20 hingga 30 peratus.

Baca juga: Lelaki bawa anjing peliharaan makan di restoran mamak, netizen tanya tak ada siapa tegur ke