Satu rakaman memaparkan sekumpulan guru bertindak ‘mengepung’ seorang murid sebelum meninggikan suara terhadapnya telah menggemparkan laman media sosial tempatan, baru-baru ini.
Mana tidaknya, tindakan guru yang memaksa anak murid bekenaan untuk mengakui telah membuat kesalahan itu disifatkan orang ramai sebagai satu bentuk pembulian dan keterlaluan terhadap kanak-kanak.
Pihak yang bertanggungjawab terutamanya Kementerian Pendidikan (KPM) kemudian digesa orang ramai untuk mengambil tindakan tegas terhadap guru terbabit kerana dilihat gagal mengendalikan emosi.
Isu yang hangat diperkatakan di platform media sosial ini telah mendorong seorang bapa untuk tampil berkongsi pengalaman peribadi ketika berhadapan dengan situasi serupa melibatkan anaknya dengan guru.
Menurut sang bapa, kejadian itu berlaku pada tahun lalu ketika anaknya yang merupakan seorang pengawas Tingkatan Lima ditampar di kedua belah telinga oleh seorang guru lelaki sewaktu menjawab kertas ujian.
Kejadian yang dikatakan berlaku tanpa sebarang bentuk provokasi daripada remaja terbabit telah menjadi punca anaknya mengalami pendarahan akibat gegendang telinganya pecah selepas ditampar oleh gurunya.
“Maaf, komen ini panjang sedikit tetapi mungkin boleh dijadikan panduan. Selepas kejadian, kami terus bawa anak pergi ke klinik kemudian dirujuk ke Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT). Dikesan berlakunya pendarahan akibat dari gegendang telinga pecah.
“Bersama bukti doktor pakar, saya jumpa Guru Penolong Kanan (GPK) 1, GPK Hal Ehwal Murid (HEM) dan Guru Kaunseling tanpa kehadiran anak. Saya beritahu laporan kepada polis serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan dibuat sebelum dirujukkan kepada peguam.
“Cikgu yang tampar itu datang minta maaf kepada saya. Dengan tegas saya beritahu sangat kecewa dan meminta cikgu itu bertanggungjawab atas perbuatannya terhadap anak. Lalu saya bawa anak buat laporan polis kemudian ke PPD. Tetapi Allah lorongkan terus ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya.
Sewaktu dipertemukan dengan pegawai aduan daripada JPN, sang bapa menegaskan bahawa anaknya tidak akan hadir ke sekolah melainkan guru yang bertanggungjawab direhatkan atau ditukarkan ke sekolah lain.
Menerusi perkongsian dimuat naik di laman Facebook itu, sang bapa juga mengakui berniat untuk menggunakan saluran undang-undang sebelum pegawai aduan terbabit memberitahu tindakan terhadap guru telah dilaksanakan.
“Hasilnya cikgu tersebut ditukarkan sekolah dalam masa 24 jam. Saya juga berikan tiga jalan penyelesaian kepada cikgu itu. Tetapi segala urusan adalah melalui GPK-HEM. Sekolah jadi perantara, bukan terus kepada cikgu terbabit. Alhamdulillah dalam dua ke tiga minggu, beberapa perkara telah dipersetujui bersama.
“Semuanya melalui penyelesaian di meja rundingan. Apa yang nak diingatkan, bertindak dengan tenang. Jangan bergaduh atau pukul cikgu, nanti hilang kelebihan apabila nak buat aduan atau sebarang tuntutan nanti. Cikgu yang bersalah boleh minta maaf kepada ibu bapa.
“Tetapi ingat, kemaafan bukan hak anda untuk memberi. Itu adalah hak anak anda. Berbincanglah dengan anak mengenai tindakan yang terbaik dan harus dipersetujui oleh anak. Sebab yang kena dia, yang trauma juga dia.” Ujar bapa terbabit memberikan peringatan.
Perkongsian sang bapa itu dibuat menerusi ruangan komen di platform Facebook sebelum dikongsikan semula oleh bekas guru yang kini bergelar pempengaruh dan aktivis popular iaitu Mohd Fadli Salleh.
Baca juga: “Kau memang cari masalah dengan makcik dia!” – Sajat