PU Syed atau Syed Mohd Bakri Bin Syed Ishak, 33, malam tadi diisytihar sebagai juara rancangan realiti agama Islam, Pencetus Ummah (PU) musim ketiga dalam pertandingan akhir di Dewan Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Kajang malam tadi.
Kemenangan guru berasal dari Kuantan, Pahang itu sekaligus melayakkan beliau membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 manakala naib juara serta pemenang tempat ketiga dan keempat, masing-masing menerima wang tunai RM10,000 serta trofi sumbangan Astro.
PU Syed yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Mesir dan pada masa ini aktif dalam NGO Semarak berjaya mengenepikan tiga peserta lain iaitu PU Taha, Abdul Zaid Abdul atau PU Zaid dan Mohamad Amirul Amin, PU Amin.
Mimbar Akhir Pencetus Ummah dihoskan oleh Ustaz Haji Zulkifli Hamat dan Shamsul Ghau yang disiarkan secara langsung di Astro Oasis (saluran 106). Hadiah disampaikan mudir Pencetus Ummah Musim ketiga, Ustaz Kazim Elias dan Fuad Mat ali, Pengurus Saluran Astro Oasis.
Ustaz Kazim juga mengetuai juri professional selain Habsah Omar (Abby Fana) dan juri jemputan terdiri daripada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta penceramah bebas, Mohd Farid Ravi Abdullah dengan penilaian sebanyak 70 peratus manakala markah selebihnya adalah daripada undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Program keagamaan yang melatih peserta muda dari pelbagai latar belakang kerjaya menjadi pendakwah agama itu berlangsung selama tujuh minggu bermula 27 Ogos lalu.