Seorang guru berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi satu rakaman memaparkan hadiah yang diterimanya daripada murid sempena sambutan Hari Guru yang diadakan di sekolahnya beberapa hari lalu.
Menerusi satu hantaran video dimuat naik di akaun TikTok miliknya, guru yang dikenali sebagai Hajar itu mengakui bahawa hadiah tersebut adalah pemberian murid paling unik sepanjang bertugas sebagai warga pendidik.
Mana tidaknya, hadiah yang diterima oleh wanita terbabit bukanlah ‘biasa-biasa’ sebaliknya bungkusan plastik yang diisikan dengan beberapa ekor ikan termenung dipercayai untuk semua guru mata pelajaran.
Berdasarkan rakaman berdurasi 20 saat itu dapat dilihat beberapa bungkus ikan termenung diletakkan di dalam sebuah kotak gabus yang dipenuhi dengan ais untuk mengekalkan kesegaran hidupan laut tersebut.
Sekeping kertas turut dilekatkan di atas kotak gabus itu sebagai nota yang mana nama kesemua guru yang ‘layak’ menerima hadiah tersebut telah disenaraikan bersama arahan untuk mengambil sebungkus ikan setiap seorang.
“Hadiah Hari Guru yang paling unik yang pernah diterima sepanjang bergelar Guru. Ikan buat guru. Masya-Allah, kita simpan video sebagai kenangan sebagai seorang guru,” katanya di ruangan kapsyen.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian guru terbabit sudah berjaya meraih sebanyak 277,500 tontonan dengan 12,700 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-rata pengguna terharu menonton video tersebut.
Ramai pengguna berpendapat bahawa pemberian ikan termenung sebagai hadiah Hari Guru adalah keputusan yang tepat serta bijak memandangkan makanan adalah keperluan dan tentunya tiada pembaziran akan berlaku.
Beberapa orang pengguna TikTok yang bergelar guru turut tampil di ruangan komen berkongsi pengalaman peribadi mereka menerima hadiah Hari Guru daripada murid berupa barang dapur seperti gula, serbuk teh dan cili.
“Untung kalau berikan hadiah makanan ini. Kerana nanti menjadi darah daging. Hasilnya menjadi pahala yang akan mengalir berterusan,” kata seorang pengguna berhubung pemilihan hadiah Hari Guru.
“Saya dapat hadiah gula dengan serbuk teh. Rasa terharu dan sedih itu tak boleh nak cerita. Anak-anak murid ini, walaupun tak berkemampuan tetapi dia nak juga beri hadiah. Ya Allah, nikmat Allah pinjamkan.” Kongsi seorang guru.
Baca juga: Guard ‘pau’ duit warga emas, siap ugut nak ‘clamp’ kereta, anak datang minta balik RM50