Duta Khas ke Timur Tengah, Datuk Seri Hadi Awang dilihat paling berkapasiti dan layak mendamaikan dua tokoh sukarelawan negara untuk mencapai kesepakatan agar kedua-duanya melakukan ‘gencatan senjata’.
Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali berkata, ini adalah hal penting untuk dilakukan segera memandangkan konflik antara Nadhir Al Nuri dan Ebit Lew berlaku di Timur Tengah iaitu Mesir dan wilayah suci Palestin.
Beliau berkata, kefasihan Hadi berbahasa arab dan kepakarannya dalam isu antarabangsa negara-negara teluk serta hubungan baiknya dengan ramai pelabur Arab, maka tugas mencapai pelan damai dua tokoh aktivis tersebut pasti berjaya.
“Mentelah, beliau juga dilihat sebagai duta bertaraf menteri yang mempunyai banyak masa lapang kini,” katanya sinis.
Zamir berkata, pertelingkahan antara Nadhir Al Nuri dan Ebit Lew yang menjadikan medan media sosial sebagai ‘battle ground’, telah mengheret umat Islam ke kancah fitnah dengan kata mengata yang tidak berkesudahan.
Bagi mengelakkan perkara seumpama itu berulang di masa hadapan, Zamir mencadangkan agar satu deklarasi audit diwujudkan bertujuan mengawal selia aktiviti badan-badan bukan kerajaan (NGO) terutama yang membawa keluar wang ke luar negara.
Ketua Pemuda PH Terengganu itu juga menegaskan, terlalu banyak pemegang taruh yang terlibat dalam urusan mengumpul dana seperti duit penderma, nama baik agamawan, ketelusan badan sukarelawan dan hubungan diplomatik asing
“Paling penting nama baik agama Islam supaya tidak dilihat sebagai satu lagi produk muslim yang boleh ditunggang demi mencapai manfaat duniawi.
“Justeru kami rakyat Malaysia memohon agar Duta Timur Tengah dapat memainkan peranannya dengan baik kali ini sebagaimana kejayaannya membawa pelaburan dari negara Arab,” ulasnya.