Pas mengesahkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno yang bakal berlangsung pada 4 hingga 7 Disember ini di PWTC, Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan perkara itu serta mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi atas jemputan ke majlis perasmian perhimpunan tersebut.
“Dengan ini saya mengesahkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah bersetuju untuk menghadiri majlis tersebut bersama-sama dengan pimpinan tertinggi Pas dan pesuruhjaya negeri-negeri,” katanya.
“Pas amat yakin kebersamaan Pas dengan Umno dan BN dalam segala program serta tindakan akan mengukuhkan lagi persefahaman dan gerak kerja dalam Muafakat Nasional menuju ke arah kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara,” kata kenyataan itu lagi.
Pas dan Umno mengumumkan kerjasama rasmi antara dua parti itu pada 14 September lalu melalui apa yang dipanggil sebagai Muafakat Nasional.
Kerjasama tersebut antara lain kononnya menjadikan perpaduan orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai agenda penting perjuangan blok politik tersebut.