Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang semakin beransur sihat malah mampu untuk menyiapkan sebuah artikel ketika berada di Institut Jantung Negara (IJN).
Perkara ini dimaklumkan oleh Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui satu kenyataan semalam.
“Alhamdulillah, setelah beberapa hari Datuk Seri Tuan Guru berada di IJN untuk menerima rawatan dari pasukan perubatannya, di samping dengan penjagaan pengambilan makanan yang sesuai dan doa semua pihak, telah membolehkan fizikal Tuan Guru memberikan respon yang sangat positif sehingga beliau berada dalam keadaan yang sangat baik dan ceria.
“Malah Tuan Guru telah mampu untuk menyiapkan satu artikel ringkas mengenai suasana politik semasa yang berlaku dalam negara kita. Artikel berkenaan akan di keluarkan dalam sehari dua ini,” ujar kenyataan itu.
Turut disebut mana-mana pihak yang ingin melawat Tuan Guru di IJN agar dapat menangguhkan niat tersebut.
“Ahli keluarga Tuan Guru mengucapkan berbanyak terimakasih kepada semua pihak yang bersabar dengan memahami situasi yang ada untuk menangguhkan kunjungan dan pertemuan dengan Tuan Guru ke satu masa dan tempat yang lebih sesuai nanti setelah Tuan Guru keluar dari hospital.”
Abdul Hadi dimasukkan ke IJN pada Sabtu lalu untuk menerima rawatan susulan dan berehat.