Hadiahkan rumah dekat anak, wanita terkilan menantu jual lepas balik haji, diberi masa hanya 3 bulan untuk pindah

Oleh MAISARAH AISYA

Ibu bapa sebolehnya nak menyenangkan anak-anak, sanggup bagi rumah sebagai hadiah di kala usia sudah semakin menua.

Tapi ada juga yang mengambil ringan akan hal tersebut dan senangnya menukar nama kepada pasangan, akhirnya yang merana adalah ibu bapa sendiri.

Seorang pengguna TikTok @penwarishq berkongsi kisah seorang wanita di usia 60 tahun yang terpaksa mencari rumah sewa selepas rumah didiaminya dijual menantu.

Memanggil wanita tersebut dengan gelaran Kak Ina, pada mulanya dia dan suami berkerjaya sedap dan memilih bersara selepas berjaya memiliki beberapa hartanah.

Jelasnya, Kak Ina membahagikan kesemua hartanah tersebut sebagai hadiah atau hibah kepada semua anaknya dan rumah didiami diberikan atas nama anak perempuan bongsunya.

“Sebelum dia pergi haji, dia bahagi tukar milik semua rumah yang dia miliki kepada anak-anak sebab bagi dia itu semua harta dunia.

“Tapi tiba-tiba satu hari ada ejen datang nak ambil gambar rumah jadi dia soal kenapa menantu dia nak jual sedangkan dia dengan suami duduk di rumah tu.

“Rupanya sebelum anak bongsu dia meninggal, dia dah tukar nama kepada suami dia maka menantu dia ada hak nak jual.

“Bayangkan sakit hilang anak tu masih ada, terpaksa pula bekerja keras kemas semua barang sebab menantu dia bagi masa tiga bulan sahaja sebelum dia jual,” jelas pemilik TikTok.

Ujarnya lagi, Kak Ina dan suami mempunyai simpanan namun di usia sebegitu nak sewa yang mahal tu susah dan barang berpuluh tahun tu pula entah nak simpan di mana.

“Memang betul mereka berdua ada simpanan yang banyak tapi suami dia kena serangan jantung lepas dengar menantu dia nak jual rumah mereka.

“Bayangkan dengan simpanan tersebut, nak bayar kos rawatan lagi, cari rumah sewa pun yang murah sahaja.

“Tapi sebab menantu dia ada dokumen sah maka peguam tu cakap tiada apa yang boleh dibuat sebab ia dilakukan secara sah,” ujarnya.

Baca juga: Netizen terkejut, meja awam di tepi pantai kena caj RM20 kalau nak duduk