Abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang dibawa pulang ke negara ini,selepas enam tahun kematiannya, disifatkan sebagai hal peribadi keluarga mendiang.
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Brid Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, berkata, tiada keperluan untuk membangkitkan isu berkenaan oleh kerana beliau secara peribadi juga tidak mempunyai dendam terhadap mendiang.
“Secara peribadi saya tidak mempunyai dendam terhadapnya, walaupun saya pernah cedera ditembak peluru musuh (komunis) dalam insiden Gunong Korbu pada 1 Jun 1979.
“Kita kena belajar untuk melepaskan sesetengah perkara. Pada satu masa, kumpulan mereka adalah pejuang kebebasan tetapi bertukar menentang negara selepas kemerdekaan.
“Kebanyakan golongan muda yang mengangkat senjata menentang negara dan pasukan keselamatan pada masa itu juga tidak mempunyai kefahaman yang betul.
“Bagi Chin Peng yang telah lama meninggal dunia, abu yang dibawa kembali oleh saudara-maranya adalah hal peribadi mereka,” katanya kepada Malaysia Dateline.
Malah katanya, Chin Ping juga hanya menduduki sebahagian daripada sejarah negara yang menyaksikan permulaan yang sukar dan terperangkap di antara pengaruh ideologi komunis dan kapitalisme Barat.
“Mereka yang (dahulu menentang), telah bertaubat dan memilih kehidupan yang baru. Mereka juga rakyat Malaysia seperti kita. Tidak ada kebanggaan di dalam perjuangannya menentang negara kita.
“Tapi bahagian sejarah itu sudah pun berlalu. Komunisme tiada signifikan dalam pertumbuhan dan pengwujudan kekayaan hari ini. Chin Peng adalah sejarah dan biarlah ianya berakhir,” ujarnya.
Abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilapor telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lalu.
Abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.
Sebelum itu, satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan menyambut ketibaan abu mayat itu di Ipoh, Perak pada 16 September lalu.
Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.
Kerajaan pada ketika itu telah memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.
Polis kini dalam siasatan untuk kenalpasti bagaimana abu itu dibawa masuk oleh sekumpulan pengurusan abu Chin Ping ke negara ini. Jurucakap kumpulan itu, Chan Kan Fook dipetik berkata, dirinya juga bersedia untuk berdepan apa jua keadaan yang mungkin timbul jika Kementerian Dalam Negeri mahu mengambil tindakan.