Halang wanita lanjut pelajaran ke universiti, Majlis Ulama Arab Saudi gesa Taliban gugurkan keputusan

Oleh KIM SYAZIE

Sebelum ini, media melaporkan Taliban telah melarang wanita daripada meneruskan pendidikan ke peringkat universiti yang berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan ini telah mendapat tentangan Majlis Ulama Arab Saudi yang menggesa pemerintah Afghanistan di bawah pimpinan Taliban menggugurkan keputusan tersebut.

Tindakan ini kata ulama, dilihat sebagai menafikan hak wanita terhadap pendidikan dan bercanggah dengan prinsip serta undang-undang Islam.

“Majlis itu menjelaskan bahawa Islam memelihara hak dan kewajipan setiap manusia, lelaki dan perempuan, dan mengulangi bahawa Islam, dengan ketetapan dan perundangannya, memelihara hak wanita di sisi undang-undang dan membenarkan mereka menikmati hak memelihara kemanusiaan, maruah, kepimpinan dan kemakmuran.

“Majlis itu juga menyatakan bahawa yang paling utama di antara hak yang dipelihara oleh Islam untuk wanita adalah hak untuk pendidikan, kerana Al-Quran menggesa dan menggalakkan pendidikan sama rata untuk lelaki dan wanita,” menurutnya seperti dipetik Agensi Berita Saudi (SPA).

Universiti swasta dan awam disarankan untuk melaksanakan larangan itu secepat mungkin serta memaklumkan kepada kementerian sebaik larangan itu dilaksanakan, ini berdasarkan surat yang dikongsi jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi, Ziaullah Hashmi.

Isu ini mendapat perhatian banyak pihak yang mengecam tindakan itu termasuk Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, yang mendesak pemerintahan Taliban mempertimbangkan untuk menarik balik sekatan tersebut dan mengembalikan akses wanita Afghanistan melanjutkan pengajian ke universiti.

Baca Juga: Kesal kerajaan Taliban haram wanita ke universiti

Baca Juga: Harga ayam: Masa kerajaan dulu apa yang Pas buat, kenapa bising sekarang?