Hampir bakar jasad, keluarga terima panggilan anak masih hidup

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah keluarga di Negeri Sembilan menuntut penjelasan pihak polis apabila hampir membakar jasad anak orang lain semalam.

Kejadian bermula apabila bapa mangsa menerima panggilan dari Penjara Sungai Buloh memaklumkan bahawa anaknya sudah meninggal dunia.

A. Chantren kemudian diminta untuk hadir ke Hospital Sungai Buloh untuk menuntut mayat anaknya yang berusia 19 tahun.

Ganjilnya, pihak polis tidak membenarkan keluarga Chantren untuk melihat mayat sebelum menurunkan tandatangan.

Awalnya hairan mayat itu tidak menyerupai anaknya, namun memikirkan ia telah dibedah siasat dan kepala dibotakkan, dia melupakan gerak hatinya itu.

“Hanya beberapa jam sebelum upacara pembakaran bakar mayat, hospital telah telefon dan kata anak masih hidup.

“Kami sekeluarga terkejut, jadi mayat siapa yang ada di dalam rumah kami,” katanya yang telah mengeluarkan belanja sebanyak RM20,000.

Difahamkan, pihak polis juga tidak pernah memaklumkan kenapa dan atas kesalahan apa anaknya dimasukkan ke penjara.

Tidak dapat melihat anak yang masih hidup, emosi keluarga juga terganggu ekoran telah mengeluarkan belanja untuk pembakaran mayat.

Oleh yang demikian, keluarga menuntut penjelasan hitam putih selain mahu berjumpa dengan anaknya bagi memastikan dia masih hidup.

Baca juga: ‘Kami sedar diri’, penyanyi Malaysia jauh hati dengan peminat artis Korea