Hampir dua minggu bertarung nyawa, Tun M pernah hampir putus asa

Oleh ARIF ATAN

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui hampir berputus asa ketika bertarung nyawa, akibat masalah jantung hingga dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hampir dua minggu, bulan lalu.

Menurutnya, ada ketika, beliau sudah putus harapan untuk sembuh ketika ditempatkan dalam Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN akibat penyakit itu yang dianggapnya sebagai amat teruk.

“Adakalanya, saya tak harap nak pulih. Tetapi, Alhamdulillah dengan rawatan yang diberi di IJN, saya pulih,” ujarnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata demikian dalam satu video ringkas yang dimuat naik di akaun Twitter rasminya, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berpendapat takdir menentukan beliau kembali pulih, berkat doa rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mengharapkannya sembuh, selain usaha pakar perubatan di IJN untuk menyelamatkan nyawanya.

“Saya ucap terima kasih. Ramai yang berdoa untuk saya pulih. Dan, hasilnya ialah saya telah pulih daripada satu penyakit yang bagi sayalah, amat teruk,” katanya.

Pada 5 Februari lalu, IJN memaklumkan Mahathir dibenarkan keluar dari IJN dan menjalani pemulihan di rumah.

Bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke IJN pada 21 Januari lalu selepas prosedur elektif yang dilaksanakan dua minggu sebelum itu.

Itu kali ketiga beliau dimasukkan ke IJN dalam tempoh lebih sebulan, selepas kali terakhir masuk ke IJN pada 17 Januari lalu bagi menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar enam hari kemudian.

Dalam video hampir seminit yang dikongsikannya, Mahathir dilihat ceria dan bertenaga walaupun masih dalam pemulihan ketika menyampaikan ucapan tersebut.

Turut kelihatan Mahathir bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersiar-siar di sekitar Tasik Putrajaya, hari ini.