Dua Ahli Parlimen DAP mengkritik respon Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin yang menyatakan akan menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) berhubung habuan wang RM30 juta dan jawatan menteri.
Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, tindakan mengejut itu seolah-olah memandang remeh dengan menganggap laporan polis yang dibuat mereka sebagai palsu dan fitnah.
Mereka menegaskan, mesej melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan jawatan menteri kepada mereka adalah benar dan ianya fakta.
“Kami ingin memberitahu Menteri Dalam Negeri bahawa Ahli Parlimen Pakatan Harapan tidak berminat dan tidak ada masa dalam permainan taktik politik kotor.
“Fokus kami semasa krisis kesihatan dan ekonomi ini adalah pada kesejahteraan rakyat. Menteri Dalam Negeri boleh menyiasat semua yang dia mahukan dan tidak ada yang kita disembunyikan.
“Mesej Whatsapp yang diterima oleh kami adalah fakta. Isu ini penting bagi negara kerana undi tidak percaya akan segera diadakan di Parlimen. Oleh itu, kami telah melaksanakan tugas sivik untuk melaporkan masalah ini kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan balas hari ini.
Sebelum ini, Kulasegaran bersama dua lagi MP DAP mendakwa ada pihak cuba memberi rasuah kepada mereka berbentuk wang dan jawatan.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) memaklumkan sudah menemui ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut.
Kulasegaran sebelum ini mendakwa beliau dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menawarkan ganjaran sekiranya memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Kulasegaran dan Khoo menegaskan, mereka telah pun meminta pihak SPRM menyerahkan laporan rasmi kepada Parlimen mengenai perkara tersebut agar ia dapat diperdebatkan.
Mereka juga mengingatkan agar Menteri Dalam Negeri memandang serius laporan tersebut tanpa sebarang prasangka.
“Kerajaan mempunyai semua kuasa dan kemudahan yang diperlukan untuk menyiasat dan memastikan tidak berlaku rasuah politik.
“Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri telah menunjukkan sikap berat sebelah dan sikap tidak peduli terhadap isu tersebut. Ini tidak menghairankan kerana ia datang dari seorang Menteri yang ingin melantik “budak kita” ke jawatan kanan polis.