Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak mengetahui status operasi ibu pejabat parti berkenaan di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur yang dikhabarkan sudah ditutup sejak Mac lalu.
Menurut Hamzah, penjelasan mengenai perkara itu perlu dilakukan oleh Setiausaha Agung PN ekoran hal berkaitan dengan pejabat adalah sebahagian dari tanggungjawab pengurusan dan pentadbiran harian parti.
Oleh hal demikian, Hamzah yang juga Timbalan Presiden BERSATU itu meminta supaya pihak media menunggu penjelasan rasmi daripada Setiausaha Agung parti untuk menjelaskan perkara tersebut, lapor Berita Harian.
Jawatan Setiausaha Agung PN kini disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak dilantik pada Disember tahun lalu.
“Saya sendiri juga tidak pasti sebab bukan lagi Setiausaha Agung. Ketika saya memegang jawatan SU (setiausaha agung) dahulu, hal berkaitan pejabat adalah sebahagian daripada urusan pengurusan dan pentadbiran harian parti.
“Kita tunggu penjelasan rasmi daripada Setiausaha Agung (PN). Mungkin mereka sedang mencari tempat baharu atau mungkin sudah menjumpainya,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, ibu pejabat PN di kawasan elit Solaris Dutamas di Kuala Lumpur dilaporkan telah ditutup sejak bulan Mac lalu yang mana sumber parti memaklumkan sewa premis tersebut sudah berhenti dibayar.
Sementara itu, Hamzah turut menafikan kewujudan perpecahan dalam kepimpinan ketika ditanya mengenai desas desus rombakan yang dikatakan bakal berlaku dalam parti untuk memberi peluang lebih besar kepadanya.
“Saya juga tidak tahu mengenai perkara itu. Apa yang penting sekarang, kita hidup dalam keadaan aman dan bersatu. Jadi jangan mudah percaya dengan khabar angin yang boleh merosakkan perpaduan sedia ada.” Ujarnya.
Baca juga: Anak masih belajar di usia lewat 30-an, Dharma Harun tak lepas tangan, tak tergamak suruh berhenti