Hannah Yeoh gesa segerakan penempatan mangsa tanah runtuh Sungai Penchala

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa bantuan kepada mangsa tanah runtuh di Kampung Sungai Penchala disegerakan oleh pihak berkuasa supaya mereka ditempatkan segera di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Setakat jam 3 petang tadi, beliau memaklumkan bahawa mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh berkenaan masih lagi ditempatkan di Masjid Al-Hidayah dan Dewan Masyarakat Kg. Sungai Penchala.

Menurutnya, pihak berwajib masih belum memutuskan PPS untuk menempatkan mangsa biarpun mereka telah mengadakan siri mesyuarat demi mesyuarat sejak malam tadi.

“Saya menggesa mereka yang diamanahkan untuk mengendalikan mangsa-mangsa bencana kejadian tanah runtuh di Sungai Penchala untuk segera memutuskan PPS dan menguruskan pemindahan dengan segera.

“Menteri Wilayah Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri KPWKM Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad wajar lebih empati kepada mangsa-mangsa yang amat memerlukan tempat perlindungan untuk berehat, selamat, selesa dan mempunyai akses untuk kemudahan kebersihan serta perlindungan kesihatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilaporkan, lebih 50 penduduk dari sembilan rumah di Kampung Palimbayan Tanah 60, Sungai Penchala terselamat daripada tertimbus dalam kejadian tanah runtuh jam 12.30 tengah malam, Ahad.

Kesemua yang terlibat merupakan penduduk yang tinggal di kawasan lereng bukit.

Sebahagian daripada mangsa dilaporkan telah ditempatkan di PPS Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Masjid Al Hidayah dan Surau Islamiah.