Hantar mesej ancaman kepada pegawai PETRONAS, polis buru pengirim SMS

Oleh MAISARAH AISYA

Ancaman melalui SMS kini menjadi antara bentuk gangguan digital yang membimbangkan kerana ia boleh mendatangkan rasa takut dan tekanan kepada penerima.

Tindakan menghantar mesej berunsur ugutan, sama ada melibatkan keselamatan diri, keluarga atau harta benda, dianggap serius kerana boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan laporan polis dibuat pegawai PETRONAS yang bertugas di Bintulu.

Ini adalah selepas pekerja tersebut didakwa menerima beberapa ugutan melalui SMS daripada individu tidak dikenali berhubung fasiliti Liquefied Natural Gas (LNG) di Bintulu, Sarawak.

Terkini, polis sedang mengenal pasti pemilik nombor telefon bimbit yang menghantar mesej ugutan kepada pegawai PETRONAS lapor Berita Harian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata siasatan lanjut masih dijalankan berhubung mesej berbaur ugutan berkenaan.

“Kita masih mengenal pasti dan mengesan pemilik nombor telefon berkenaan yang dikesan menghantar mesej ugutan berkaitan fasiliti LNG itu dan terhadap pegawai terbabit.

“Dari sudut keselamatan, kita akan memperketatkan dan mempertingkatkan kawalan kerana difahamkan operasi di sana masih berjalan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Baca juga: Kenapa orang kata teknologi PRIME penting masa bencana? Ini 10 QnA nak mudah faham