Terbawa emosi, seorang anak sanggup menghentak kepala bapanya sendiri menggunakan mangkuk besi mesin pengisar adunan tepung.
Mengejutkan, pemuda yang tidak berhati perut itu turut menumbuk dan menendang tubuh lemah bapanya yang telah uzur.
Akibat daripada kejadian malang itu, mangsa, Zulkifli Mohamad mengalami kecederaan di kepala dan menerima tiga jahitan pada dahi.
Berlaku di Kampung Bechah Keranji, Peringat, Kota Bharu, Kelantan, kejadian itu berpunca dari tindakan sang bapa menjual rangka motosikal milik anaknya.
Disimpan dalam stor rumah, anaknya mula berang selepas mendapati rangka motosikal jenis Modenas Kriss miliknya sudah tiada.
“Saya pernah memarahinya kerana sering menjual barangan di rumah ini. Apabila saya menjual rangka motosikal yang ada di dalam stor, dia pula marah.
“Pada awalnya, dia marah sebelum menendang dan menumbuk saya. Dia kemudian bergegas keluar mengambil besi mesin pengisar adunan tepung.
“(Kemudian dia) menghentak peralatan itu ke dahi saya,” kata Zulkifli yang turut menghidap penyakit angin ahmar.
Selepas anaknya melarikan diri, Zulkifli segera keluar meminta pertolongan daripada jiran untuk menghantarnya ke klinik.
Dari Klinik Kesihatan Peringat, Zulkifli dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu.
Menurut laporan Kosmo, polis sedang giat menjalankan siasatan lanjut dalam usaha mengesan suspek.
Baca juga: Tercekik lihat harga kayangan, peniaga jual cempedak RM2 seulas