Begitu senang membuang keluarga hanya kerana wang ringgit sampai sanggup biar anak jadi gelandangan demi suami tercinta.
Seorang pemuda mendakwa dibuang keluarganya dan terpaksa menjalani kehidupan sebagai gelandangan selama lebih dari setahun hanya kerana tidak bagi ayah tiri duit.
Menurut Kosmo, Daniel terpaksa mengerah keringat dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk ‘menyara’ ayah tirinya.
Apabila pemuda yang baru berusia 20 tahun itu tidak mampu memberi wang maka dia dihalau keluar dari rumahnya.
“Setahun saya hidup sebagai gelandangan, sehinggalah mendapat peluang untuk menumpang teduh di bawah bumbung Pertubuhan Kebajikan Marhaen Taiping.
“Biarpun diperlakukan begini dan tidak dibenarkan kembali ke rumah, saya masih sayangkan ibu dan adik-adik yang lain,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Menurut Daniel, sejak berusia 7 tahun, dia telah dihantar ke sebuah sekolah tahfiz di sini dan menjalani kehidupan di sana sehingga umur 12 tahun.
“Selepas ayah meninggal dunia kira-kira tujuh tahun lalu, segalanya berubah apatah lagi selepas ibu berkahwin lain.
“Tidak tahu di mana silapnya apabila saya sering dimarahi bapa tiri tanpa sebab. Akhirnya, pada Januari tahun lalu, saya telah diusir keluar kerana gagal memberikannya wang,” ujarnya.
Lebih menyedihkan tidak ada ahli keluarga yang menghalang malah mengakui tiada hubungan dengannya lagi.
Selepas setahun diusir, Daniel dibantu oleh seorang lelaki yang membawanya untuk tinggal bersama sebelum dihantar ke rumah Pertubuhan Kebajikan Marhaen Taiping.
Dia yang kini bekerja di sebuah hotel mengaku merindui ahli keluarganya.
“Saya mengharapkan agar satu masa nanti dapat berkumpul kembali dengan ibu dan adik-adik. Tidak ada perasaan dendam dalam diri ini terhadap mereka,” katanya.
Baca juga: Konsep Rahmah bukan diperkenal Mahathir, tapi Mujahid – Wan Ji