Meskipun zaman semakin moden, tak dinafikan masih ada rakyat Malaysia yang bersusah payah demi mencari rezeki.
Ditambah pula dengan anak ramai dan tinggal bersama ibu bapa yang tidak sihat, pastinya bebanan kewangan buat suami isteri adalah lebih mencabar.
Menerusi segmen Pagi On Point di stesen radio Kool 101 bersama penyampai radio, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil dan Haiza, seorang pemanggil bergelar Nurul meluahkan kesusahan yang dihadapi keluarganya.
Jelas Nurul dia terdetik untuk menghubungi stesen radio tersebut demi meminta bantuang wang RM50 yang mahu disedekah Pak Nil.
“Pagi tadi saya terdetik nak hubungi sebab saya ada banyak komitmen, saya tinggal bersama ibu bapa yang keduanya mempunyai sakit kronik.
“Ibu bapa saya ada masalah usus dan sudah menjalani pembedahan pada minggu lepas dan dalam masa sama saya memerlukan duit untuk belanja harian, perubatan dan juga buat anak-anak bersekolah.
“Saya ada empat orang anak dan suami pula hanya bekerja di kilang sahaja,” luahnya dalam video dimuat naik Kool 101.
Kongsi Nurul lagi dia terpaksa menahan lapar dengan berpuasa agar dia mempunyai duit lebih untuk diberikan kepada anak-anak.
“Saya niat puasa sebab saya sanggup demi belanja anak sekolah, saya faham pendapatan suami saya pun tak banyak,” kongsinya.
Keadaan bertukar sebak selepas Pak Nil memindahkan wang ke akaun bank Nurul dan jumlah diberikan bukanlah RM50 tapi RM500.
Terdengar tangisan syukur dan ucapan terima kasih berulang kali atas rezeki yang dikongsi Pak Nil kepadanya.
Rata-rata netizen memuji sikap baik Pak Nil malah ada yang berkongsi kisahnya bersama Pak Nil di ruangan komen.
“Jujur cakap Pak Nil ni baik sangat, pernah buat kerja hantar rendang negeri Sembilan sehari sebelum Raya untuk Pak Nil, Pak Nil bayar saya siap dengan duit raya RM600 keseluruhannya.
“Kerja ni saat akhir sebab orang yang sepatutnya hantar tak dapat buat kerja. Alhamdulillah saya dapat bagi dekat anak-anak buah masa Hari Raya.
“Pak Nil memang pemurah dan berjiwa besar, semoga sentiasa merahmati dan melindungi Pak Nil,” kongsi pengguna Instagram, Maichemat.
Baca juga: Individu dilema nak ‘resign’ walau gaji besar, alasannya sebab tak ada kawan di tempat kerja