Seorang wanita sudah hampir berputus asa dalam usaha untuk menjernihkan kembali hubungannya dengan sang mentua selepas berlakunya salah faham di antara mereka.
Menyedari dirinya bukanlah menantu kesayangan, wanita terbabit mula terasa hati dengan ibu mentuanya apabila diperli di depan saudara-mara suami hanya kerana ‘bendi’.
Nekad menjaga hati sendiri, berikut perkongsian wanita yang memilih untuk menjaga ‘sempadan’ terutama dari segi hubungannya dengan ibu dan bapa mentuanya itu.
“Aku merupakan seorang isteri kepada anak lelaki sulung. Mempunyai seorang biras perempuan yang perkahwinannya seumur denganku. Anak kami berdua juga sebaya, berusia 5 tahun. Aku berkahwin ketika di tahun akhir pengajian. Jadi, aku dan suami adalah Pasangan Jarak Jauh (PJJ) selama enam bulan.
“Hal ini kerana aku berada di kolej untuk menyelesaikan projek tahun akhir. Rasanya, di sinilah bermula episod aku dan mentua sama-sama berjauh hati. Oleh kerana kami PJJ, sudah semestinya aku akan balik ke rumah suami setiap cuti. Ke rumah kelamin kami. Tetapi ibu mentua seakan tak suka dan berharap aku balik ke rumahnya.
“Kata mak mentua, dia mahu aku membantu apa yang patut. Dapat tahu pun sebab terdengar masa ibu telefon suami dan tanya sama ada aku akan pulang ke kampung atau tidak. Nasib baik suami beritahu yang kami sudah lama tak berjumpa. Sudahlah baru berkahwin, bulan madu pun tidak. Jadi bagilah kami berdua. Ibu mentua akur.
“Selepas korek cerita, barulah tahu ibu mentua nak aku balik untuk temankan dia ke pasar pagi setiap hari waktu cuti dengan menaiki kereta ayah mentua. Aku memang boleh memandu, tetapi takutlah nak bawa kereta orang. Selama ini, elok sahaja dia pergi sendiri naik motor. Rumah mentua pun masih ada anak-anaknya yang lain huni.
“Tak akanlah satu orang pun mak mentua tak pernah ajak pergi teman membeli ikan kan? Cerita kedua, rumah kelamin kami dulu di utara kerana suami bertugas di sana. Jadi perjalanan ke selatan naik kereta sangat penat walaupun bergilir memandu. Aku pula masa itu sudah habis belajar, baru mula bekerja dan disahkan hamil.
“Tetapi, aku tetap bergilir walau mabuk akibat pembawakan budak memandangkan sudah lama tak jumpa keluarga. Keluarga aku dan suami pula tinggal di negeri sama. Cuma berlainan daerah sahaja. Sampai sebelum subuh, jadi pastinya kami kelelahan sangat. Terlajak tidur selepas solat subuh. Aku bangun setelah ibu balik dari pasar.
“Aku tak minat tetapi masih boleh memasak. Jadi ringanlah tangan ini nak membantu walaupun ibu mentua masam mencuka. Aku tahu dia tak puas hati sebab tak teman ke pasar. Tetapi dia pun tak beritahu atau kejut aku bangun. Bilik suami di kampung pula tiada tingkap. Jadi kalau hari cerah pun, memang tak perasan.
“Tetapi aku teruskan juga membantu ibu mentua masak. Jenis aku kalau memasak di rumah orang, memang akan bertanya termasuklah di dalam dapur mama kandungku sendiri. Sebabnya aku faham setiap orang, lain cara masaknya. Setiap apa yang aku potong akan tanya dahulu nak macam mana. Kalau bawang tak jadi isulah.
“Namun yang buat aku sentap, mak mentua meninggikan suara selepas asam pedas siap. Sebabnya nak tegur aku tak potong hujung bawah bendi itu. Manalah aku tahu dia nak potong. Nanti kalau aku tanya juga nak potong bendi itu macam mana, ibu mentua akan jawab ‘potonglah ikut suka kau’.
“Jadinya aku potong atas sahajalah, ikut cara mamaku. Tetapi, perlu ke tinggi suara dekat dapur? Boleh hilang nyawa ke kalau termakan hujung bawah bendi itu? Asam pedas itu nanti akan dibawa ke inap desa. Nak hantar adik ipar menikah. Sudahnya seharian dia memerli aku depan saudara mara, ‘tengoklah Ara tak potong bendinya’.
“Disebabkan pening dengar mulut lancangnya, aku keluar dengan suami petang itu. Sempat ditahan ibu mentua sebab suruh tunggu sepupu perempuan suami tiba dari Kuala Lumpur untuk ajaknya jalan di Johor Bahru. Sebolehnyalah suruh kami tunggu. Padahal sepupu suami itu bukannya kali pertama jejak kaki ke Johor Bahru.
“Kalau kali pertama sekalipun, sepupunya datang dengan kereta. Pandai-pandailah pergi sendiri. Adik ipar yang nombor tiga seakan dapat baca riak muka aku. Jadi dia menyelamatkan aku dan suami. Di inap desa itu juga, ada lima keluarga. Jumlah bilik ada tiga sahaja. Jadi bilik hanya dikhaskan untuk keluarga jauh datang.
“Selepas keluar mencari barang, aku dan suami balik dengan penuh orang di dalam rumah itu. Sudahlah tak diberitahu dari awal. Malam itu, ibu mentua suruh aku tidur di ruang tamu. Padahal sudah penuh saudara-mara lelaki bujang yang tidur. Aku jadi ‘blur’. Aku pun berkeras nak tidur hotel. Jadinya suami terpaksalah ikut.
“Tidak lama selepas itu, kami berpindah ke selatan selepas suami ditugaskan di situ. Mentua pula memang suka datang ke rumah adik ipar di Kulai. Selalu, katanya sebab rumah mereka selesa. Aku tak kisah. Faham rumah aku ala kadar sahaja. Aku sibuk bekerja dan tak rasalah yang menghiasi rumah dengan melampau itu satu keperluan.
“Rumah adik ipar aku luas. Semua bilik ada penghawa dingin. Memang sudah diubah suai sepenuhnya. Saiz televisyen juga besar, siap dengan pembesar suara. Aku pula kalau tengok televisyen letak bunyi paras lima sahaja sebab dengar macam bingit. Sampailah satu hari anak aku sakit. Jadi aku bekerja dari rumah.
“Walaupun di rumah, aku tetap menghadap komputer riba. Perlulah hadiri mesyuarat dan sebagainya. Tiba-tiba suami telefon dan cakap, ‘yang, ibu tak benarkan beritahu tetapi saya takut kena tidur luar. Ibu dan ayah lagi lima minit sampai’. Masa itu suami tengah bekerja di luar kawasan. Macam nak tercabut nyawa aku bila dengar.
“Tak sampai lima minit ada orang beri salam. Aku pula tengah bermesyuarat. Mereka sampai sebelum waktu rehat tengah hari. Aku pula jarang masak kalau kami tinggal berdua di rumah. Aku sambut sahajalah dengan rumah berserabut. Televisyen kami pula hanya ada Netflix dan Youtube. Orang tua kalau boleh nak tengok berita.
“Jadinya dari awal lagi sudah mendengar bapa mentua merungut. Aku pula memang tengah sibuk. Pesan makanan di aplikasi penghantar sebelum sambung kerja. Anak aku pula tak sihat, tak boleh ajak main. Situasi menjadi janggallah. Mereka beransur pulang sebelum waktu maghrib. Itulah kali terakhir mereka datang ke rumah aku.
“Mungkin menyesal terus. Sebabnya di rumah biras lain. Dia suri rumah, jadi sentiasa masak dan hidang segala jenis makanan. Ayah mentua pun selalulah beritahu segala resepi di Facebook minta biras aku masakkan kalau dia datang. Aku ingatkan mereka menerima layanan itu sebab suami sudah beritahu aku bekerja walaupun di rumah.
“Tetapi aku dengar dari biras yang lain, rupanya ibu mentua mengadu dengan anak-anaknya. Perkara ini yang buatkan aku sentap. Ibu mentua cakap aku tak hidangkan makanan. Adakah aku kena suapkan juga selepas memesan makanan. Padahal aku inilah menantu yang akan dicari kalau nak dibeli barang di atas talian.
“Keluarga mentua juga selalu minta bantuan daripada ayah aku sebab dia pegawai kerajaan, jadi senang mereka berurusan. Hanya pada waktu itu sahaja aku menjadi menantu yang didambakan. Sekarang ini aku sudah gembira sebab sedar, buat baik macam mana pun, menantu tetap orang luar. Jadi aku sudah boleh terima.
“Apabila mereka bertanya, barulah aku menjawab. Jika tiada apa nak dibualkan, aku hanya berdiam. Mereka hantar pautan untuk belikan barang di atas talian, aku terus hantarkan kepada suami. Kalau keluarga mentua minta cuti lama untuk kenduri, aku akan cakap suami tak dapat cuti lama. Aku kata mahu masa dengan suami sahaja.
“Lantaklah kalau keluarga mentua nak cakap aku suka melekat sahaja. Aku tak nak cuba mengambil hati mereka yang tak nak jaga hati aku.” Kongsi wanita yang tidak mahu lagi mempunyai hubungan terlalu rapat dengan mentuanya itu menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.
Baca juga: Cuba masukkan kerajaan, PDRM dalam saman Global Royalty, permohonan Rosmah Mansor ditolak