Umum tahu mengenai bekas personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed yang menerima empat waran tangkap oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Bagaimanapun usahawan tudung itu mengakui tidak mengetahui akan hal tersebut kerana tidak dimaklumkan oleh peguam.
Menurut Harian Metro, Norjuma memaklumkan hanya mengetahui mengenai isu waran tangkap melalui laporan media.
“Saya pun tidak tahu pangkal cerita berhubung waran tangkap itu dan mengakui agak terkejut membaca laporan media berhubung isu waran tangkap.
“Sepatutnya perkara ini diuruskan oleh peguam saya, bukannya pihak media.
“Sehingga kini lima peguam yang dilantik pun tidak memaklumkan perkara ini dan buat masa ini saya juga berdepan masalah kerana barisan peguam tidak memberi kerjasama kepada saya.
“Baru-baru ini pun peguam tidak hadir ke mahkamah sedangkan saya mengeluarkan kos setengah juta untuk kos mereka,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Bagaimanapun katanya, beliau akan hadir pada tarikh baru yang ditetapkan oleh mahkamah bulan ini.
“Sebenarnya ramai orang tidak tahu mahkamah sudah memberi tarikh baru kepada saya iaitu bulan ini. Saya akan hadir pada tarikh itu,” katanya.
Dalam pada itu, Norjuma memaklumkan kini terbabit dalam bidang perhotelan dan sudah menghabiskan kos RM3.5 juta untuk proses mengubah suai.
Baca juga: Dulu jenama tudung gah, usahawan selebriti kini berdepan 5 kes, terima waran tangkap