Hanya dengan meninggalkan komen di laman sosial Facebook (FB) milik pembiak dan penjual pokok keladi hiasan di sini nasib seorang ibu tunggal terus berubah.
Amira Jusoh, 40, yang sering mengikuti ‘Live FB’ penjual pokok keladi hiasan telah meninggalkan komen menyebabkan Rozita tersentuk bertindak menghadiahkan sepokok anak keladi kepada ibu tiga anak berkenaan yang kemudian dijadikan ‘modal’ perniagaan oleh Amira.
Amira memang minat pokok keladi dan sering melihat pengikut Rozita membeli pokok keladi daripadanya.
Kongsi wanita itu, dia juga kagum dengan kesungguhan Rozita menjalankan perniagaan tersebut, khususnya selepas dia kehilangan pekerjaan pada penghujung 2020.

Menurut Amira, dia kemudian beranikan diri bertanyakan harga sepokok keladi hiasan yang memang diketahui mahal hinggakan digelar ‘keladi kayangan’.
“Bila tahu harganya, saya cakap memang minat tapi tak mampu. Langsung tak sangka Rozita tawarkan secara percuma satu pokok iaitu daripada jenis Lime Gecko untuk saya mula tanam.
“Alhamdulillah, berkat tunjuk ajarnya, saya dapat biak dan jadikan anak pokok itu sebagai modal untuk terlibat dalam penjualan pokok keladi hiasan,” katanya dipetik Bernama.
Dia yang kini bekerja sebagai pembantu kedai runcit, mula aktif menjual pokok keladi hiasan sejak pertengahan tahun lepas, dan hingga kini berjaya menjual antara 20 dan 30 batang pokok keladi daripada jenis caladium dan colocasia.
“Saya hanya tanam di sekitar rumah namun cukup untuk memberi pendapatan tambahan kepada saya, membantu saya membesarkan anak-anak. Hingga sekarang pun saya masih belajar mengenai pokok-pokok ini, terutama dalam memastikan tanaman mencapai standard yang diperlukan untuk pasaran,” katanya.
Bagi Rozita, dia juga tidak menyangka komen Amira tersebut membuka hatinya untuk menjadikan tanaman hiasan berkenaan sebagai ‘jambatan’ membantu golongan susah, khususnya ibu tunggal.
“Saya sendiri pernah hidup susah. Jadi, apabila Amira komen di FB saya, terus terdetik hendak beri dia sebatang pokok keladi.
“Saya cakap, cuba bela pokok itu dulu. Kalau menjadi, juallah anak pokok itu ikut harga sendiri. Jika hidup elok, kita ‘upgrade’ kepada jenis lebih mahal,” katanya.
Sejak itu, katanya dia meneruskan usaha ‘menghadiahkan’ pokok keladi hiasan kepada golongan susah terutama ibu tunggal dan seterusnya membantu mereka menjadi pengusaha ‘keladi kayangan’ yang berjaya.
Menurutnya, selain Amira, hingga kini dia berjaya membantu kira-kira 10 individu dari sekitar Melaka dan Selangor menjadi usahawan keladi hiasan.