Haram beri review palsu pada makanan atau servis – Dr. Rozaimi Ramle

Oleh MAISARAH AISYA

Semakin ramai mengambil kesempatan menggunakan platform digital untuk meninggalkan ulasan negatif terhadap kedai atau perniagaan yang sebenarnya tidak pernah mereka kunjungi.

Dengan hanya beberapa klik, reputasi sesebuah premis boleh tercalar, meskipun ulasan tersebut tidak berlandaskan pengalaman sebenar, sekali gus menimbulkan ketidakadilan kepada peniaga yang terjejas.

Tular beberapa hari ini ada sesetengah individu meninggalkan ulasan negatif di restoran Rembayung milik usahawan Khairul Amin.

Tampil memberi penjelasan di Facebook, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Dr. Rozaimi Ramle memaklumkan perbuatan tersebut berdosa.

“Terbaru saya melihat dalam laman sosial, ada pihak yang memberikan rating hanya satu bintang pada kedai Khairul Amin. Walhal restoran itu belum memulakan operasi lagi.

“Ini menunjukkan mereka belum menerima servis dari kedai tersebut, tapi telah memberikan satu bintang atau review (ulasan) palsu,” kongsinya di Facebook.

Beliau mengingatkan bahawa dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut tentang dosa-dosa besar, antaranya penyaksian palsu dan perkataan dusta.

“Ketahuilah kesemua perkara ini hukumnya haram. Memberi penyaksian palsu ataupun kata-kata palsu merupakan salah satu dosa besar dalam agama.

“Nampak kecil, namun impaknya besar,” kongsinya.

Baca juga: Nubhan nafi bibik cium anak di bibir, sedia beri kerjasama jika bekas isteri buat laporan