Haram bersama musuh agama: Hadi bawa pemikiran berbahaya dan cetek

Oleh KIM SYAZIE

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai berfikiran cetek dan tidak wajar apabila mengeluarkan kenyataan bahawa haram untuk bersama dengan musuh agama yang merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) dan melabel PH sebagai ‘melampau terhadap Islam’.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, kenyataan Hadi adalah ancaman baru yang terpaksa diahadapi oleh masyarakat akibat politik permusuhan yang semakin menebal dari parti Islam itu.

Beliau turut menyatakan kebimbangannya kerana jika kenyataan tersebut dipegang oleh kelompok pentaksub terhadap Hadi, mereka akan mula menganggap kumpulan lain sebagai musuh hanya kerana tidak sehaluan dengan Islam diperjuangkan Pas.

“Ini satu kenyataan tidak bijak dan menggambarkan kecetekan seorang yang dianggap punya keilmuan yang tinggi.

“Selepas Pas meletakkan benteng yang memisahkan antara parti itu dan masyarakat satu ketika dahulu dengan isu kafir mengkafir, kini Pas kembali menimbulkan satu permusuhan baru yang membolehkan tercetusnya keadaan tidak diingini oleh masyarakat.

“Bagi saya, melabel satu pihak sebagai musuh Islam ini sangat berbahaya. Kenyataan sebegini boleh membentuk pemikiran orang yang begitu taksub dengan seseorang yang dianggap ulama besar, taksub kepada parti yang berlatarbelakangkan Islam, lalu mencetuskan satu permusuhan sangat menebal,” katanya dalam satu video di Facebooknya malam tadi.

Pada masa sama, Mahfuz juga mengingatkan semula tentang bagaimana munculnya golongan ekstrimis dalam negara sehingga terlibat dengan kumpulan pengganas kerana terpengaruh dengan dakyah sesuatu kumpulan

Beliau turut menyifatkan pemikiran Hadi Awang sebagai merbahaya kerana menggambarkan bahawa Pas tidak boleh menerima pemikiran Islam yang diperjuangkan pihak lain.

Bahkan katanya, apa sahaja pemikiran bertentangan dengan Islam yang dibawa oleh Pas, akan dianggap sebagai pemikiran yang salah dan memusuhi agama.

“Masyarakat perlu bayangkan bagaimana jika Pas menggepalai kerajaan memerintah. Bermakna bahawa Pas hanya berkehendak bahawa Islam yang diperjuangkan Pas sahaja yang tidak dilabel sebagai musuh Islam

“Inilah bahaya yang dibawa politik Pas apabila agama ditunggangi untuk kepentingan politik sehingga akhirnya melabel orang lain sebagai musuh kerana tak sehaluan dengan Islam yang diperjuangkan mereka,” katanya lagi.