Kerajaan Persekutuan terus komited dengan tanggungjawabnya apabila memberi sejumlah RM795.78 juta kepada kerajaan Selangor pada tahun ini, pertambahan sebanyak RM37.27 juta berbanding tahun lepas, meskipun dilempar dengan pelbagai fitnah dan tuduhan oleh pembangkang, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, pemberian untuk Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) merupakan yang terbesar iaitu sejumlah RM496.89 juta.
“Walaupun kerajaan Selangor adalah kerajaan pembangkang dan banyak tuduhan dilemparkan kononnya Kerajaan Persekutuan menganaktirikan Selangor, namun ia tidak benar kerana jelas bagi 2016 kerajaan Selangor peroleh tambahan peruntukan.
“Kita berharap kerajaan negeri akan laksana amanah dengan gunakan wang yang diberi Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan di Selangor, bukan digunakan untuk pengurusan atau perkara lain,” katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, di Shah Alam hari ini.
Selain itu, Noh berkata, bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016-2020), Kerajaan Persekutan meluluskan sejumlah 289 projek pembangunan di Selangor dengan peruntukan sebanyak RM18.37 bilion, iaitu melibatkan 138 projek sambungan RMK-10 dan 151 projek baharu.
Daripada jumlah itu, beliau berkata Kementerian Kerja Raya menerima peruntukan terbesar iaitu RM4.54 bilion bagi melaksanakan projek-projek utama di negeri itu, seperti menaik taraf jalan dan lebuh raya selain menggantikan jambatan sedia ada yang telah usang.
Noh bagaimanapun berkata, peruntukan yang besar tidak akan mampu memberi impak yang diharapkan untuk rakyat sekiranya pihak kerajaan negeri Selangor serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) gagal memberi kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan terutama membabitkan pengurusan tanah dan kelulusan Kebenaran Merancang.
“Kita harap kerajaan Selangor utamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik dan tabung kerajaan negeri. Contohnya pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Setia Alam yang kini masih tertangguh walaupun peruntukan RM3 juta telah diluluskan pada tahun lepas.
“Pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak dapat melaksanakan projek itu berikutan kerajaan negeri mengenakan premium tanah sebanyak RM4 juta yang mana nilainya melebihi peruntukan yang diluluskan,” katanya.
Noh turut memberi contoh projek pembinaan pasar tani kekal di Puchong yang masih tertangguh sejak tiga tahun lepas berikutan kegagalan memperoleh Kebenaran Merancang daripada PBT berkaitan meskipun peruntukan telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan kepada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).