Harap tiada netizen buat teori, Nora Danish pilih berpisah cara baik lepas 7 tahun kahwin

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya setiap pasangan yang berkahwin tidak mengimpikan untuk berpisah apatah lagi jika sudah mempunyai anak.

Begitu juga buat Nora Danish dan Nedim Nazri yang bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Memetik Berita Harian, perkahwinan yang dibina berakhir secara baik apabila Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin semalam.

Nora ketika ditemu bual BH Online mengharapkan kata semangat dari orang ramai dan mahu membesarkan anak dalam persekitaran positif walaupun selepas berpisah.

“Saya dan bekas suami sudah mendapat persetujuan bersama untuk mengakhiri perkahwinan kami yang didirikan selama tujuh tahun. Ia berakhir di sini, malam ini.

“Apa yang paling penting, tujuan kami untuk membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan positif.

“Jadi, saya harapkan anda mendoakan yang terbaik buat kami dan keluarga.

“Saya harap tiada teori mengenai perpisahan kami. Ini kerana kami sangat mementingkan keharmonian kedua-dua keluarga dan anak-anak,” katanya seperti dipetik BH Online.

Nedim atau nama sebenarnya, Mohamed Nedim Mohamed Nazri, 41, tidak mahu mengulas lanjut.

Nedim hadir tanpa peguam, manakala Nora diwakili oleh peguam syarie, Ahmad Badri Idris.

Nora yang berjubah putih dilihat hadir bersama Nedim menaiki kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam pada jam 7.40 malam.

Baca juga: Pernah kena ‘scam’ sampai hilang RM1k, Bell Ngasri nasihatkan orang ramai berhati-hati