Harga barang naik: Kerajaan perlu turun ke lapangan, siasat pihak sengaja raih untung

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan seharusnya segera turun ke lapangan untuk memantau kenaikan harga yang dilapor naik mendadak sehingga tiga kali ganda ketika ini.

Beliau berkata, banyak pekebun mengadu bahawa mereka sama sekali tidak menaikkan harga sayur sehingga dua atau tiga kali ganda.

Beliau mendakwa ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memanipulasi harga barangan asas.

“Siapa yang raih untung ni? Sebab itu kerajaan kena turun dan pantau harga. Ada yang ambil kesempatan.

“Tapi, belum ada sikap “urgency” atau rasa cemas dari kerajaan untuk buat pemeriksaan dan ambil tindakan kepada mereka yang manipulasi harga ini.

“Ramai yang ambil kesempatan ketika musim Covid-19 ini untuk keuntungan sendiri. Kerajaan kena keluar dari pejabat dan turun ke lapangan.

“Harga sayur di kawasan anda, okay tak okay?,” soalnya dalam satu hantaran Facebooknya semalam.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, beberapa pekebun di Pulau Pinang mendakwa ada pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga sayur sehingga harganya melambung tinggi ketika ini, sedangkan pekebun menjualnya pada harga biasa sahaja kepada pemborong atau orang tengah.

Pekebun sawi, Maharam Mohd Tahir, 58, berkata meskipun harga sayur seperti sawi, kubis bunga, kangkung, cili merah dan cili hijau meningkat melebihi 50 peratus, pihaknya masih menjual pada harga rendah kepada pemborong.