Pemilik kebun dan pengusaha durian kini menjadikan varian raja buah yang ‘lahir’ di Pulau Pinang sebagai taruhan berikutan harganya boleh mencecah RM1,000 sebiji.
Buah yang lebih dikenali dengan nama Tupai King itu dikatakan telah menjadi tarikan baharu dalam kumpulan durian popular dan dijangka boleh menyaingi Musang King.
Perkara itu didedahkan oleh pengusaha durian di Pulau Pinang, Brian Ong menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosial Facebook milik Buza Biz.
Menurut Brian, durian Tupai King ini mampu dijual di pasaran pada harga di antara RM600 hingga RM1,000 sebiji dengan berat sekitar tiga kilogram kepada pelanggan.
Hal ini berikutan varian raja buah tersebut amat sukar ditemui di pasaran tempatan kerana kurang menjadi pada musim kali ini sehingga menjejaskan pengeluarannya.
“Durian Tupai King tidak selalu ada di pasaran Malaysia. Pengeluarannya juga tidak sebanyak durian lain,” jelas Brian dalam video tersebut sambil memegang buah yang memiliki nombor pendaftaran D214 itu.
Dalam perkongsian sama, Brian turut berkongsi panduan untuk mengenal pasti Tupai King agar orang ramai tidak ditipu peniaga yang menjual buah lain atas nama durian tersebut.
Maklum Brian, kulit durian jenis ini kebiasaannya sukar merekah manakala isinya pula berwarna kuning dan sedikit hijau keperangan serta teksturnya pula agak berlemak.
“Isinya memang berlemak, berwarna kuning dan ada sedikit rona kehijauan. Buahnya agak besar juga manakala saiz bijinya pula sederhana. Aromanya pekat seperti durian Musang King.
“Selain itu, teksturnya agak melekit di tangan. Rasanya hampir menyerupai Musang King, namun sedikit pahit.” Ulasnya sambil memberitahu buah yang segar rasanya lebih enak terutamanya dari Pulau Pinang.
Untuk rekod, varian yang dinamakan sebagai Tupai 226 ini didaftarkan secara rasmi pada bulan Februari, tiga tahun lalu oleh seorang pengusaha kebun durian di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Malah varian dengan nombor pendaftaran D214 itu turut diperakui secara rasmi oleh Ketua Pengarah Pertanian pada 26 Februari 2021 lalu.
Baca juga: Wanita bengang restoran makanan segera bagi burger dengan timun semata-mata, melayang RM29!