Ramai menjadikan pembelian emas sebagai satu pelaburan jangka panjang dek kerana nilai susut yang tidak ketara.
Kini harga emas global dikatakan terus melonjak dan dijangka mencecah RM500 segram dalam beberapa bulan akan datang lapor Harian Metro.
Tampil berkongsi Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Louis Ng memaklumkan pembelian emas secara agresif oleh bank pusat khususnya China menjadi penyebab kenaikan harga logam berkenaan.
“Dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) memainkan peranan penting terutama kebimbangan tarif import emas yang menyebabkan peningkatan penghantaran emas dari London ke New York.
“Perkembangan ini memberi impak besar terhadap dinamik perdagangan global dan menyumbang kepada kenaikan harga emas,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Jelas Ng, tekanan inflasi serta jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan menjadikan emas pilihan pelaburan buat orang ramai.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan peningkatan harga emas menjadikan ia sesuai untuk pelaburan jangka panjang tapi tidak untuk pelaburan jangka pendek.
Ini adalah disebabkan pembetulan harga secara mendadak boleh menyebabkan risiko kerugian.
“MGA menegaskan emas kekal sebagai aset stabil terutama bagi pelaburan jangka panjang.
“Jika inflasi terus tinggi atau ekonomi tidak menentu, harga emas berpotensi meningkat lebih jauh kerana ia lebih selamat berbanding mata wang boleh mengalami penyusutan nilai,” tambahnya.
Baca juga: KPM salur RM1,000 untuk setiap murid, warga pendidik terjejas akibat kebakaran paip gas